Kedudukan kewangan Perak kukuh

Kedudukan kewangan Perak kukuh

SAARANI Mohamad menjawab soalan lisan semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, Perak, semalam. - .UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kedudukan kewangan Perak terus mengukuh apabila merekodkan kutipan hasil sebanyak RM1.05 bilion setakat 25 November lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkembangan baik itu memberi keyakinan kepada kerajaan negeri untuk mengatasi sasaran kutipan hasil yang ditetapkan sebelum ini.

Katanya, seiringan itu, kerajaan negeri optimis untuk sekali lagi menutup akaun dalam kedudukan surplus bagi dua tahun berturut-turut.

“Namun, saya mengingatkan diri saya dan kita semua supaya tidak mengambil sikap mudah berpuas hati.

“Segala usaha dan kudrat daripada semua warga pentadbiran kerajaan negeri akan terus digembleng bagi menjayakan projek-projek berimpak tinggi seterusnya merangsang pertumbuhan ekonomi pada masa depan,” katanya ketika berucap dalam Pembentangan Belanjawan 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini, semalam.

Menurut Saarani, seiring pertumbuhan ekonomi yang baik, Penyata Kewangan Kerajaan Negeri bagi tahun berakhir 31 Disember 2022 juga menunjukkan perkembangan positif apabila merekodkan peningkatan hasil yang ketara iaitu RM1.09 bilion.

Katanya, peningkatan hasil itu sekali gus mengulangi pencapaian melebihi angka satu bilion yang pernah direkodkan pada tahun 2019.

“Sukacita saya memaklumkan kepada dewan yang mulia ini, belanjawan defisit yang disediakan bagi tahun 2022 telah berjaya ditutup pada kedudukan surplus RM29.6 juta,” katanya.

Dalam pada itu, Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Kota Tampan berkata, sektor pelaburan terus menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

“Berdasarkan laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sejak 2018 sehingga Jun lalu, Perak telah memperoleh pelaburan direalisasikan bernilai lebih RM22.3 bilion.

“Pelaburan itu merangkumi pelaksanaan 283 projek pembuatan yang mewujudkan lebih 22,000 peluang pekerjaan,” katanya.

Tambah Saarani, walaupun terpaksa mengharungi iklim ekonomi yang begitu mencabar sepanjang 2022, Perak berjaya merekodkan nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mencecah RM80.2 bilion, dengan pertumbuhan KDNK 4.3 peratus iaitu lebih tinggi berbanding 3.6 peratus pada tahun 2021.

Katanya, sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar KDNK negeri, dengan nilai ditambah berjumlah RM50.7 bilion berbanding RM47.3 bilion pada tahun 2021 iaitu pertambahan RM3.4 bilion.

“Pertumbuhan sektor ini diterajui oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, diikuti dengan subsektor penginapan, makanan dan minuman serta utiliti, pengangkutan dan ICT.

“Pencapaian ini turut didukung oleh peningkatan prestasi sektor pembinaan dan perlombongan yang masing-masing mencatat pertumbuhan 6.1 dan 8.9 peratus selain sektor pembuatan yang meningkat sebanyak 1.0 peratus,” katanya.

Saarani berkata, berdasarkan unjuran semasa, kerajaan negeri yakin mampu mencapai sasaran pertumbuhan antara empat hingga lima peratus tahun ini dengan mengambil kira pemulihan berterusan pasaran kerja, pelaksanaan pesat projek-projek pembangunan serta peningkatan aktiviti pelancongan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN