SOALAN
Suami lebih suka melepak dengan kawan daripada duduk di rumah? Selepas makan, suami terus keluar rumah. Suami tak bahagia dengan saya ke? Bagaimana mahu tarik suami supaya lebih luangkan masa dengan keluarga?
-Isteri harapan
JAWAPAN
Perkahwinan sepatutnya menjadi tempat bahagia dan tenang selepas penat bekerja seharian.
Namun, ada kalanya suami lebih suka menghabiskan masa di luar rumah berbanding keluarga.
Keadaan ini boleh menimbulkan rasa sedih dan terabai dalam hati isteri.
Oleh itu, penting untuk isteri memahami punca perubahan suami dan mencari cara yang bijak untuk menarik semula perhatian dan kasih sayangnya.
Antara usaha yang boleh dilakukan ialah:
a)Baiki suasana rumah – Pastikan rumah bersih, kemas dan wangi. Sambut kepulangan suami dengan senyuman yang mampu membuat hatinya lebih rindu kepada keluarga. Kadang kala, lelaki lebih memilih keluar kerana rumah tegang atau sunyi. Justeru, penting untuk menjadikan rumah sebagai ‘syurga kecil’ yang dirindui.
b)Aktiviti santai – Selepas makan malam, ajak suami dan anak-anak menikmati teh atau kopi sambil berbual santai. Walaupun ringkas, ia mampu membina keintiman emosi dan mencipta rutin baru yang menyeronokkan.
c)Seni berkomunikasi – Mulakan perbualan dengan memberi penghargaan dan elak berprasangka buruk. Berusaha menjadi pendengar yang baik. Pendekatan ini dapat membantu suami rasa lebih dihargai.
Fahami cara suami – Cuba memahami dunia suami dengan bertanya santai tentang kawan-kawannya tanpa nada cemburu atau marah. Cara ini akan membuatkan suami rasa lebih dihargai dan terdorong untuk membawa isteri lebih dekat dalam kehidupannya.
d)Sistem sokongan – Dapatkan nasihat kaunselor, ahli keluarga atau rakan terdekat sekiranya perlu. Elakkan daripada menyimpan perasaan sedih bersendirian.
e)Doa dan tawakal – Berdoalah agar hati suami dilembutkan dan hatinya terpaut kembali kepada keluarga.
f)Dengan usaha yang berterusan, mudah-mudahan suami puan akan kembali menjadikan keluarga sebagai keutamaannya dan rumah tangga kembali ceria dan bahagia.
Kesabaran, doa dan usaha berterusan adalah kunci terbaik untuk mengukuhkan semula ikatan kasih sayang dalam rumah tangga.










