SUNGAI PETANI: Sebuah kilang yang terbakar di Bukit Selambau, di sini dipercayai menyimpan barangan kitar semula termasuk tembaga dan produk berkaitan bateri.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, siasatan awal mendapati premis tersebut menjalankan operasi membabitkan barangan kitar semula.
“Percikan api dan letupan itu berlaku dipercayai kerana terdapatnya bahan mudah terbakar di dalam premis dan bukan kerana letupan daripada bunga api.
“Kita sedang menunggu proses pemadaman sepenuhnya oleh pihak bomba sebelum tindakan lanjut dapat dilakukan,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, setakat ini tiada laporan berhubung kemalangan jiwa akibat kejadian tersebut.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin berkata, terdapat tiga gudang penyimpanan barang terpakai terdiri daripada logam tembaga, wayar dan bateri yang terbakar.
Kebakaran dapat dikawal pada pukul 10.02 malam tadi namun kerja-kerja pemadaman masih giat dijalankan.
Terdahulu, kejadian pukul 7.57 malam tadi, menggemparkan penduduk di Bukit Selambau di sini apabila sebuah kilang di situ terbakar disusuli letupan seperti bunga api. -UTUSAN