Ke mana pergi murid sains tulen?

Ke mana pergi murid sains tulen?

ALIRAN sains tulen sangat penting untuk membekalkan sumber manusia termasuk dalam bidang perubatan, farmasi, pergigian, sains kesihatan dan pelbagai bidang lain berasaskan sains serta matematik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hanya 10 peratus bilangan murid yang dijangka mengikuti aliran sains tulen di sekolah di negara ini menjelang 2030.

Jangkaan itu berdasarkan kepada perbandingan bilangan murid dalam aliran berkenaan yang menunjukkan penurunan sebanyak empat peratus dalam tempoh empat tahun.

Pada 2018, sebanyak 19 peratus murid yang masuk ke aliran sains tulen di tingkatan empat.

Namun, jumlah murid di aliran sains tulen itu merosot kepada hanya 15.2 peratus tahun ini.

Ini bermakna, dalam tempoh hanya empat tahun antara 2018 hingga 2022, murid aliran sains merosot sebanyak empat peratus atau secara purata satu peratus pada setiap tahun.

Sedangkan aliran sains tulen sangat penting untuk membekalkan sumber manusia dalam bidang perubatan, farmasi, pergigian, sains kesihatan, kejuruteraan, bioteknologi, ahli biologi, ahli sains dan berbagai bidang berasaskan sains dan matematik.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, kemerosotan itu sangat membimbangkan kerana ia akan menjejaskan usaha membangunkan negara.

Katanya, kesannya boleh menyebabkan negara berdepan kekurangan tenaga pakar dalam bidang sains tulen dan terpaksa bergantung kepada kepakaran asing.

“Kesannya sangat besar kepada sumber manusia berkemahiran tinggi dalam jurusan sains tulen apabila bilangan murid merosot.

“Akibatnya pihak industri khususnya pelaburan asing akan membawa masuk sumber tenaga luar negara yang berkemahiran tinggi kerana bila mereka membuka pelaburan yang besar tetapi sumber manusia tempatan tidak mencukupi, mereka tiada pilihan,” katanya ketika dihubungi.

Justeru, katanya, suatu tindakan atau dasar yang baharu perlu diperkenal untuk meningkatkan semula bilangan murid sains tulen di masa akan datang.

“Jika tiada usaha atau intervensi dalam bentuk dasar dilakukan untuk meningkatkan bilangan murid dalam aliran sains tulen dengan segera, kemerosotan bilangan murid sains tulen terus berlaku,” katanya.

Analisis keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 mendapati prestasi calon bagi mata pelajaran Matematik Tambahan, Fizik, Biologi dan Kimia menunjukkan hampir 50 peratus calon hanya memperoleh gred D, E dan G dalam Matematik Tambahan.

Tidak sampai 15 peratus calon SPM yang mengambil mata pelajaran Matematik Tambahan mendapat gred A+, A dan A- yang melayakkan mereka untuk masuk ke pengajian tinggi dalam bidang perubatan, kejuruteraan dan sebagainya.

Malah, pencapaian murid Malaysia dalam PISA 2022 juga mengesahkan prestasi murid negara dalam kemahiran Matematik dan Sains berada dalam kumpulan sepertiga terbawah berbanding 81 negara yang mengambil bahagian dalam penilaian PISA 2022.

Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, kemerosotan murid sains tulen tidak seharusnya berpanjangan jika beberapa langkah diambil termasuk memperkukuh dasar pendidikan digital dalam usaha menggalakkan minat kepada bidang sains tulen.

“Tunjukkan bidang sains tulen ini sebenarnya mudah dikuasai para pelajar dan kelebihan bidang ini dari sudut peluang kemasukan ke universiti dan peluang pekerjaan.

“Libatkan semua pihak bagi memupuk minat sains dalam kalangan pelajar. Pelajar sekarang ini juga bersaing di peringkat global jadi kita tidak boleh ketinggalan dalam bidang sains tulen,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN