Kapal tangki dikendalikan warga Iran ditahan di Tanjong Dahan

Kapal tangki dikendalikan warga Iran ditahan di Tanjong Dahan

KAPAL tangki yang sedang dalam perjalanan dari Jepun menuju ke Dubai ditahan di kedudukan 7.5 batu nautika barat daya Tanjong Dahan, Alor Gajah, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah kapal tangki dikendalikan enam warga Iran di kedudukan 7.5 batu nautika barat daya Tanjong Dahan di sini, semalam.

Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Mohd. Khairi Abd. Aziz berkata, kapal yang berdaftar di Limbe, Cameroon itu ditahan kira-kira pukul 11.30 pagi selepas dikesan berlabuh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Laut.

Beliau berkata, pergerakan kapal berjaya dijejaki menerusi Sistem Pengawasan Laut (SWASLA), lantas sepasukan bot ronda yang sedang melakukan Op Murni dan Op Tiris Fasa 2.0 telah diatur gerak ke lokasi.

“Pemeriksaan ke atas kapal yang berdaftar di Limbe, Cameroon itu mendapati ia dikendalikan oleh enam kru termasuk kepten kapal yang kesemuanya warga Iran berumur dalam lingkungan 37 hingga 70 tahun.

“Pemeriksaan lanjut ke atas kapal yang dalam pelayaran dari Jepun ke Dubai itu turut didapati melakukan kesalahan berlabuh tanpa kebenaran dan tidak mempunyai dokumen insurans kapal,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambah Mohd. Khairi, nakhoda kapal dibawa ke Pejabat Maritim Melaka dan Negeri Sembilan bagi membantu siasatan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.

“Jika sabit kesalahan, pihak terlibat boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

“APMM sentiasa peka dan serius melaksanakan pemantauan operasi dan penguatkuasaan undang-undang agar perairan negara selamat daripada sebarang aktiviti yang menggugat keselamatan negara,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya