PUCHONG : Penyanyi, Lan Solo mengakui sentiasa terbuka dan bersikap profesional dengan rakan artis, Siti Nordiana meskipun sebelum ini mereka terpalit dengan kontroversi saman fitnah.
Menurut Lan, selepas apa yang terjadi, pihaknya lega berpeluang menjalin perdamaian dengan Siti Nordiana atau Nana sekaligus, menamatkan perang dingin antara mereka sejak lebih dua tahun lalu.
“Saya pernah sepentas dengan Nana. Jadi, kalau selepas ini, kami perlu berkongsi pentas lagi atas dasar profesional, tak ada masalah,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, hari ini.
Selain itu, ditanya mengenai sesi permohonan maaf yang berlaku semalam, Lan dan dua yang lain mengakui kekhilafan mereka dan akur dengan cadangan peguamnya, Azlan Abdul Razak untuk berdamai menerusi permohonan maaf itu.
“Permohonan maaf itu adalah atas cadangan peguam masing-masing dan kami akur dengan cadangan itu. Dari awal kes ini bermula, kami akui kekhilafan dan keterlanjuran kami.
“Sebagai manusia biasa, tak ada masalah untuk kami memojun maaf. Cumanya, apabila ia diutarakan dengan beberapa syarat lain, ia tersekat,” katanya.
Sementara itu, penyanyi, Syura Badron yang juga defendan dalam kes itu berkata mereka telah lama ingin membuat permohonan maaf kepada pihak Nana.
“Kami semua sentiasa terbuka untuk memohon di peringkat awal, sejak sebelum kes ini berjalan. Mediasi dijalankan untuk cari jalan penyelesaian.
“Tak ada rasa ego atau apa, seperti mana yang dikatakan oleh orang ramai terhadap kami. Itu semua tidak benar. Cumanya, sesi mediasi itu gagal kerana tidak ada cadangan yang dipersetujui kedua-dua belah pihak.
“Syarat yang ditetapkan untuk kami mohon maaf dalam satu sidang media itu tak menjadi masalah.
“Cuma, apabila ia datang dengan syarat pembayaran dengan nilai yang tinggi, bukan RM10, RM20, atau seribu dan itu menyebabkan kami terpaksa teruskan ke peringkat seterusnya,” katanya.
Isteri yang juga pengurus Lan, Sheila berkata, perbuatan mereka yang mengadakan sesi siaran langsung di Instagram sehingga mencetuskan kontroversi sebelum ini, bukanlah benda yang tepat untuk dilakukan.
Malah, mereka juga tidak berbangga dengan perbuatan itu.
“Kami sendiri tak pernah katakan, perbuatan kami itu betul dan kami tak berbangga dengan apa yang berlaku. Kami adalah manusia biasa.
“Pengajarannya di sini, kalau ada perkara yang boleh diselesaikan secara baik, teruskan. Kalau tangguh, akan wujud pelbagai spekulasi tak benar dan akan tokok tambah.
“Apa yang kami bualkan pada malam itu, kami tak terfikir ke arah mana ia akan pergi seterusnya,” katanya.
Tambah Sheila, dia juga melihat sikap profesional antara Lan, Syura dan Nana setiap kali bertemu di belakang pentas.
“Antara kami bertiga pun, tak pernah saling menuding jari antara satu sama lain, sebaliknya, kami cari jalan penyelesaian. Bahkan, kalau Lan dan Syura ada persembahan dan berjumpa Nana di belakang pentas pun, semuanya profesional,” katanya.
Terdahulu, kontroversi tercetus selepas Lan dan Syura mengadakan sesi siaran langsung di Instagram pada 20 Julai 2021 dan berkongsi mengenai konflik yang berlaku antara mereka dengan Siti Nordiana.-UTUSAN