KUALA LUMPUR : Susulan kontroversi membabitkan Kaka Azraff, syarikat rakaman, Warner Music Malaysia mengumumkan penamatan kontrak penyanyi tersebut hari ini.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Warner Music mengakui, terpaksa membuat keputusan tersebut atas beberapa faktor.
“Kaka Azraff merupakan seorang artis yang sangat berbakat tetapi malangnya, kami terpaksa berpisah dengannya disebabkan penggunaan bahasa tertentu dalam mesej langsung yang dipaparkan dalam talian.
“Walaupun kami dengan teguh memperjuangkan hak kebebasan bersuara oleh artis di bawah naungan kami, namun sesiapa yang bertindak dengan cara sedemikian, tanpa mengira kumpulan, bangsa, atau agama, kami akan turut membuat keputusan yang sama,” jelas wakil dari Warner Music.
Sebelum ini kecoh apabila muncul khabar angin penyanyi, Kaka Azraf, bakal ditamatkan kontrak rakaman bersama syarikat Warner Music Malaysia.
Insiden tersebut bermula apabila Kaka atau nama telah meninggalkan sebuah komen kepada pelakon Australia pro-Israel, Nathaniel Buzolic yang mempersoalkan tindakan Israel terhadap rakyat Palestin minggu lalu.
Tindakan Kaka membuatkannya disenarai dalam Instagram Jew Hate Database, iaitu sebuah media sosial khas kelompok penyokong Israel.
Bagaimanapun, penyanyi itu dijangka bakal memberi kenyataan kepada pihak media mengenai isu tersebut malam ini.