PETALING JAYA: Syarikat produksi Kalam Ariff Holdings Sdn. Bhd. (KAHSB) dengan kerjasama Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) menerbitkan filem Memoir Seorang Guru yang diadaptasi dari karya novelis terkenal Allahyarham Azizi Abdullah.
Filem arahan Kyoll Hamzah itu menampilkan Datuk Rosyam Nor sebagai teraju utama serta pelakon Ellie Suriaty, Zul Huzaimy, Nabila Huda, Johan Asa’ri, Trisha Ooi dan ramai lagi.
Pengarah Urusan KAHSB, Datuk Arisz Ab. Rahman berkata, pihaknya berminat menghasilkan filem yang dianggap ringan, tetapi mempunyai mesej yang besar kepada masyarakat.
“Semua penonton, dari golongan muda hingga tua pernah jadi pelajar. Filem ini memberi mesej tentang pendidikan di Malaysia. Ia sesuai ditonton semua golongan masyarakat khususnya yang pernah bergelar pelajar iaitu kita semua.
“Saya terdetik untuk menerbitkan filem berdasarkan adaptasi novel kerana bila saya terbaca banyak komen di media sosial khususnya Google, mereka yang nilai novel ini ramai minta agar dijadikan sebuah filem.
“Saya yakin bila penonton keluar pawagam, mereka akan fikirkan betapa besarnya jasa guru dan kita sebagai insan yang pernah bergelar sebagai anak murid perlu menghargai jasa-jasa mereka,” katanya dalam kenyataan semalam.
Majlis Menandatangani Perjanjian Bersama (MoU) antara KAHSB dan YGMB berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur, yang turut dihadiri barisan pelakon.
“Saya yakin bila penonton keluar pawagam, mereka akan fikirkan betapa besarnya jasa guru dan kita sebagai insan yang pernah bergelar sebagai anak murid perlu menghargai jasa-jasa mereka,” katanya
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, pihaknya menzahirkan ucapan tahniah kepada KAHSB atas inisiatif menghasilkan filem bergenre yang lain daripada kebiasaan filem pecah panggung.
“YGMB melihat penerbitan filem ini sebagai satu perkembangan yang sangat positif daripada pembikin filem dan kami akan menyokong usaha ini kerana menjadi peranan dan tanggungjawab YGMB membantu usaha-usaha yang mengangkat martabat profesion keguruan negara.
“YGMB berpendapat bahawa filem ini amat sesuai untuk ditonton oleh semua lapisan masyarakat bagi melahirkan penghormatan dan penghargaan atas jasa serta pengorbanan insan yang bergelar guru.
“Setiap seorang daripada kita tidak akan terlepas daripada hasil didikan seorang guru. Oleh itu, perancangan pihak penerbit untuk menayangkan filem ini ketika sambutan Hari Guru amat bertepatan.
“Saya percaya bahawa masyarakat khususnya ibu bapa, para pelajar termasuk guru-guru itu sendiri pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk menonton filem ini,” katanya. – UTUSAN










