GUA MUSANG: Seorang peniaga menjual ikan pada harga RM1 sekilogram bagi membantu penduduk yang hilang punca pendapatan akibat musim tengkujuh.
Zuhairi Hashim, 34, berkata, sepanjang minggu ini lebih dua tan metrik ikan selayang dijual pada RM1 sekilogram.
“Pada hari biasa saya akan jual pada harga RM10 bagi dua hingga tiga kilogram ikan selayang.
“Selain itu, ikan kerisi juga dijual RM10 bagi dua kilogram, ikan siakap pula RM10 seekor manakala ikan cencaru dan ikan lolong pula harga RM8 sekilogram,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Zuhairi memberitahu, walaupun berdepan musim tengkujuh, ia tidak menjejaskan bekalan ikan kerana dia mendapatkan ikan segar dari pembekal di kawasan Tok Bali, Pasir Puteh di Kelantan; Besut, Terengganu; Kuantan Pahang serta Perak dan Thailand.
Katanya, dia menggunakan platform media sosial untuk memberitahu penduduk mengenai jualan dan pembeli menunggu lebih awal di luar premisnya setiap hari.
“Niat asal selain berniaga saya juga ingin bersedekah, walaupun untungnya kecil kita saling membantu orang ramai untuk membeli dan merasa ikan segar termasuk udang dan sotong.
“Saya berharap dapat membantu penduduk Gua Musang yang kebanyakannya terjejas pendapatan ketika musim tengkujuh kerana tidak dapat keluar menoreh getah dan tidak ke kebun kerana ancaman binatang buas,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk, Zanzuki Ab. Rahman, 45, dari Kampung Star sanggup memandu sejauh 30 kilometer bagi mendapatkan ikan segar pada harga murah.
Katanya, dia datang seawal 8 pagi bagi membeli ikan pada harga yang disifatkan sangat rahmah. – UTUSAN










