Jawatan KSU kementerian baharu diisi dalam masa terdekat - KPPA

Jawatan KSU kementerian baharu diisi dalam masa terdekat – KPPA

ZULKAPLI Mohamed pada majlis mendaftarkan diri dengan Identiti Digital ID di bangunan Jabatan Perkhidmatan Awam, Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan jawatan ketua setiausaha bagi beberapa kementerian baharu akan diisi dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Dr Zulkapli Mohamed berkata, pelantikan ketua setiausaha kementerian itu bagaimanapun tertakluk kepada keputusan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan berlaku rombakan membabitkan ketua-ketua setiausaha kementerian susulan pertambahan dua kementerian baharu diumumkan Perdana Menteri pada Selasa lalu.

“Sudah tentu akan ada dua lagi atau mungkin akan ada rombakan bagi memastikan semua kementerian ini mempunyai ketua setiausaha kementerian masing-masing,” katanya ketika ditemui selepas mendaftarkan diri dengan Digital ID di lobi JPA di sini, hari ini.

Ditanya sama ada wujud pertindihan kuasa dan fungsi susulan kewujudan dua kementerian itu, Zulkapli berkata, perkara itu tidak akan berlaku dalam sistem pentabiran perkhidmatan awam negara.

“Tidak akan ada pertindihan jawatan begitu kerana dalam perkhidmatan awam kerana kita kena memastikan setiap kementerian itu diketuai Ketua Setiausaha tertentu.

“Ini untuk memberi keutamaan bagi memastikan penyelarasan diperingkat kementerian dapat dilakukan dengan sebaik yang mungkin bagi mengelak pertindihan kuasa,” katanya.

Menerusi rombakan Kabinet diumumkan Perdana Menteri pada Selasa lalu, Kementerian Komunikasi Digital dipecahkan kepada dua kementerian iaitu Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital.

Sementara itu, portfolio Kementerian Wilayah Persekutuan diwujudkan semula dan diletakkan di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa.

Manakala, portfolio Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) dipecahkan menjadi Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN