MANCHESTER: Ruben Amorim menerima bayaran pampasan RM54.9 juta semalam selepas dipecat sebagai ketua jurulatih Manchester United, hanya 14 bulan mengendalikan The Red Devils di Old Trafford.
Amorim sebelum itu dipanggil ke pusat latihan kelab di Carrington dan beliau terus dipecat oleh ketua pegawai eksekutif Omar Berrada serta pengarah bola sepak Jason Wilcox selepas berlaku perselisihan dengan hierarki pengurusan United sepanjang minggu lalu.
Pada masa yang sama, jurulatih bawah 18 tahun, Darren Fletcher telah dilantik sebagai pengurus sementara untuk perlawanan menentang Burnley, esok dengan United dijangka menamakan seorang pengurus interim sehingga penghujung musim.
Bekas rakan sepasukan Fletcher, Michael Carrick yang pernah mengambil alih tugas sementara selama tiga perlawanan pada 2021 serta bekas pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer, merupakan antara calon awal yang dipertimbangkan malam semalam.
Pakej pampasan Amorim menjadikan jumlah keseluruhan kos untuk melantik dan kemudian memecatnya mencecah hampir RM148.3 juta.
United telah menebus kontraknya dengan Sporting Lisbon pada Oktober 2024 dengan bayaran RM43 juta serta membayar tambahan RM4.9 juta supaya beliau boleh memulakan tugas lebih awal. Amorim menandatangani kontrak bernilai RM32.9 juta setahun sehingga Jun 2027, bermakna bayaran pampasan bagi baki tempoh kontraknya adalah sekitar RM54.8 juta.
United juga perlu membayar pampasan kepada pasukan kejurulatihan belakang tabir lima orang yang mengikutinya dari Portugal.
Amorim mengendalikan separuh kedua musim terburuk United dalam tempoh lebih setengah abad, apabila kelab itu gagal layak ke pertandingan Eropah buat kali kedua dalam 35 tahun.
Beliau hanya memenangi 25 daripada 63 perlawanan sepanjang tempoh kendaliannya, menjadikannya mempunyai peratusan kemenangan terburuk serta purata mata setiap perlawanan paling rendah dalam era Liga Perdana Inggeris.
Keputusan untuk memecatnya difahamkan dibuat dengan sokongan penuh lembaga pengarah serta pemilik minoriti, Sir Jim Ratcliffe. – AGENSI/UTUSAN










