PENAMPANG: ‘Orang Sabah terima kasihlah sedikit, janganlah marah lagi’. kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai peruntukan besar yang diberikan kepada Sabah menerusi Belanjawan 2024.
“Mengapa (peruntukan) tinggi di Sabah? Sebab masalah di Sabah lebih banyak..jalan, sekolah, bekalan elektrik dan air yang perlu perhatian. Semua kita bantu, ia adalah tanggungjawab bersama kerajaan negeri dan Persekutuan.
“Orang Semenanjung jangan bantah, orang Sabah terima kasihlah sedikit, jangan marah lagi,” katanya semasa merasmikan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) peringkat Kebangsaan 2023 hari ini.
Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Anwar berkata, tindakan melaksana MA63 di bawah pemerintahan kerajaan perpaduan dalam tempoh setahun ini jauh lebih baik daripada 10 tahun sebelumnya.
Antara langkah yang dilaksanakan termasuklah pemindahan kuasa elektrik, pindahkan kuasa pengurusan projek-projek kecil kepada kerajaan negeri Sabah, melantik wakil Sabah dan Sarawak dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan tambahan peruntukan yang besar kepada Sabah.
Maka, apabila ada ahli Parlimen dan bekas tokoh politik mempertikaikan peruntukan Sabah yang dikatakan kurang berbanding Pulau Pinang, jangan mudah percaya hujah sebegitu.
“Jangan dengar hujah orang politik yang tidak ikut fakta. Orang politik kadang-kadang ikut sentimen untuk tarik sokongan rakyat di bawah. Kadang-kadang kenyataan itu putar belit.
“Jadi saya nak terangkan apakah perlu kita nilai dan laksana MA63? Saya jawab ya. Apa sudah laksana? Kita ambil tindakan dalam setahun lebih baik daripada 10 tahun sebelumnya,” katanya.
Bagi tahun 2024, peruntukan bagi projek pembangunan untuk Sabah sebanyak RM6.8 bilion berbanding Pulau Pinang yang menerima RM1.4 bilion.
Tambah beliau lagi, sejak mengambil alih kerajaan, beliau telah menambah peruntukan kepada Sabah dan dalam setahun sebanyak RM16.2 bilion diperuntukkan kepada Sabah termasuk RM7.8 bilion bagi pengurusan.
Namun, peruntukan yang diberikan menjadi mainan politik. Adalah menjadi harapannya agar peruntukan yang diberikan diurus dengan baik.
Mengulas lanjut katanya, jika dilihat peruntukan Lebuhraya Pan Borneo berjumlah RM15 bilion untuk Sabah tapi projek itu lambat disiapkan berbanding Sarawak, yang hampir siap.
“Ini saya dengar mengenai projek Lebuhraya Pan Borneo dah lama dulu semasa saya pembangkang.
“Siapkan cepat projek ini dan sekarang kita ambil keputusan teruskan pelaksanaan, dengan syarat jangan ada campur tangan pengurusan tender..mesti telus, jangan bagi peluang orang kaut kekayaan daripada projek-projek rakyat ini sebegini,” katanya.










