GUA MUSANG: Hampir 2,000 Orang Asli suku kaum Temiar di Pos Pasik dan Pos Bihai di sini `berkurung’ dalam rumah sehingga pendapatan mereka makin menyusut dan bekalan makanan berkurangan kerana takut dengan ancaman harimau belang.
Menjelang pukul 6 petang sehingga keesokan paginya, Pos Pasik dan Pos Bihai bagai terkena perintah berkurung hampir sebulan lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Apek Assut, 39, berkata, situasi itu menyebabkan ‘kantung’ kewangan penduduk semakin menyusut selepas terpaksa menghadkan mencari rezeki di hutan.
Menurutnya, bagaimanapun ada dalam kalangan penduduk yang terpaksa keluar ke kebun mencari sumber makanan untuk keluarga terpaksa membawa senjata seperti parang, sumpit dan lembing sebagai langkah berjaga-jaga.
“Seminggu lalu masih ada tapak kaki harimau yang dijumpai oleh penduduk di kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Bihai.
“Setiap kali keluar rumah, perasaan takut terus menyelubungi seolah-olah kami merasakan pak belang sedang memerhatikan pergerakan,” katanya di sini semalam.
Apek memberitahu, walaupun seekor harimau berjaya ditangkap oleh pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pada awal Oktober lalu di Kampung Hak, namun mereka percaya baki harimau belang masih berkeliaran di beberapa kampung di Pos Bihai ini.
Seorang lagi penduduk, John Abu, 43, pula berkata, dia juga sentiasa membawa senjata seperti parang sebagai pertahanan diri walaupun kebunnya berada berhampiran rumah.
Katanya, dia sudah tidak berani pergi mencari sumber makanan dalam hutan.
“Kami hanya pergi ke kebun berhampiran rumah untuk menggali ubi kayu atau mengambil sayur-sayuran sebelum bergegas pulang ke rumah.
“Menjelang waktu petang, kami tidak berani lagi keluar rumah dan hanya berkurung demi menjaga keselamatan diri ahli keluarga masing-masing,” ujarnya.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Pasik, Mohd. Sani Nahtiman berkata, mereka masih bimbang dengan ancaman harimau belang walaupun sudah berjaya ditangkap oleh Perlihtan sebelum ini.
Katanya, penduduk masih menjumpai tapak kaki harimau dan percaya masih terdapat harimau lain di kawasan perkampungan mereka.
“Ketika ini kehidupan keluarga Orang Asli di kawasan pedalaman sangat sukar apabila dipercayai masih terdapat harimau bebas berkeliaran di sekitar Pos Pasik.
“Selain takut dengan ancaman harimau, musim tengkujuh juga menyukarkan penduduk yang masih menggunakan laluan balak untuk keluar ke bandar Gua Musang seperti di Pos Pasik, Pos Balar, Pos Belatim, Pos Tohoi dan Pos Bihai,” katanya.
Sebelum ini, penduduk Orang Asli mendakwa mereka bimbang dengan ancaman harimau belang yang masih bebas berkeliaran di kawasan perkampungan mereka.
Selain Pos Bihai, harimau dilaporkan masih berkeliaran di Pos Pasik, Pos Belatim, Pos Tohoi dan Pos Balar.
Sementara itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan mengambil langkah proaktif dengan memasang 10 perangkap harimau dan perangkap kamera di kawasan ‘hotspot’ aduan gangguan harimau belang di daerah ini.
Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, semua perangkap adalah aktif dan dipantau setiap hari oleh kakitangan jabatan.
“Perhilitan memohon kerjasama pemilik dan pekerja ladang atau kebun supaya membersihkan semak samun, sentiasa berhati-hati, bekerja secara berkumpulan dan tidak membuat sebarang provokasi sekiranya terserempak dengan haiwan liar.
“Sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar perlu disalurkan kepada Jabatan Perhilitan melalui talian hotline Perhilitan, 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my,” katanya.
Mohamad Hafid memberitahu lagi, sebanyak enam kes kematian dan satu kecederaan telah direkodkan dalam tempoh tiga tahun akibat serangan harimau belang di negeri Kelantan.
Katanya, berdasarkan rekod Jabatan Perhilitan, kes pertama serangan harimau belang ialah di Pos Bihai pada 5 Julai 2021 melibatkan seekor harimau belang betina (Syamilla Bihai) yang telah menyebabkan kecederaan parah seorang lelaki Orang Asli.
“Bagi kes kedua pula pada 7 Januari tahun lepas melibatkan kematian seorang lelaki Orang Asli akibat diserang harimau belang yang menyebabkan haiwan tersebut terpaksa ditembak mati kerana telah cuba menyerang anggota Perhilitan semasa operasi.
“Pada 5 Oktober lalu pula serangan harimau belang telah melibatkan kematian seorang lelaki Orang Asli di Pos Pasik,” katanya.
Tambah Mohamad Hafid, pada 10 dan 11 Oktober lalu pula, warga asing iaitu seorang lelaki Indonesia dan seorang warga Myanmar maut selepas diserang harimau belang ketika sedang berada dalam kawasan ladang.
Katanya, orang ramai termasuklah masyarakat Orang Asli dinasihatkan segera melaporkan kepada Jabatan Perhilitan jika mengesan kehadiran harimau di dalam kawasan kampung yang dikhuatiri akan mengancam nyawa dan keselamatan mereka. – UTUSAN










