Empat bidang kerjasama demi kesejahteraan ASEAN - PM

Empat bidang kerjasama demi kesejahteraan ASEAN – PM

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Empat bidang kerjasama perlu dilakukan oleh ASEAN secara mendalam dan meluas bagi memperkasakan masyarakat untuk mendepani  kemungkinan cabaran pada masa akan datang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, empat bidang tersebut meliputi aspek kesihatan awam, pengawalan iklim, pengurusan bencana dan juga pertukaran rakyat dengan rakyat.

Menurut beliau, daripada pandemik Covid-19 yang melanda secara global sebelum ini, ASEAN dan Jepun harus mengambil langkah berwaspada terutama terhadap krisis kesihatan pada masa hadapan.

Sehubungan itu,menurut beliau, Malaysia mencadangkan supaya semua negara yang menjadi anggota ASEAN, termasuk Jepun menempatkan penyelidik sendiri di Pusat ASEAN untuk Kecemasan Kesihatan Awam dan Penyakit Memuncul.

“Kita harus mengumpulkan penyelidik  pelbagai latar belakang, pengalaman dan pengetahuan, bagi membentuk satu pasukan yang boleh membantu menangani cabaran kesihatan masa hadapan dengan lebih baik,” kata beliau ketika berucap semasa Agenda 3 bertemakan ‘Heart to Heart Partners Across Generations’ di Tokyo semalam.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerjasama rapat harus terus dilakukan oleh ASEAN dan Jepun dalam pengawalan iklim supaya dapat memajukan strategi mitigasi dan penyesuaian untuk serantau serta nasional.

“Melambatkan perkara ini akan memburukkan lagi kesan perubahan iklim yang tidak dapat dipulihkan semula, satu realiti yang telah pun dialami oleh sesetengah pihak,” katanya.

Perdana Menteri berkata, keputusan penting di Sidang Kemuncak Iklim (COP28) perlu diambil berat oleh ASEAN dan Jepun terutama mengenai pengiraan stok global, matlamat global untuk adaptasi, dana kerugian dan kerosakan.

“Saya mengalu-alukan komitmen awal Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida sebanyak US$10 juta (RM46,725,000) untuk perkara itu dan saya menggalakkan Jepun untuk melakukan lebih lagi dalam membantu negara membangun dengan peralihan tenaga secara adil, teratur dan saksama,” katanya.

Sementara itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun itu berkata, rantau tersebut sudah menyaksikan peningkatan kejadian berkenaan perubahan cuaca ekstrem iaitu daripada kemarau sehingga banjir dan tanah runtuh yang memerlukan pengurusan bencana yang baik.

Tambahnya, Malaysia juga akan menggalakkan lebih ramai pelajar daripada semua negara ASEAN ke kampus cawangan Universiti Tsukuba Jepun di Malaysia bagi melanjurkan pelajaran.

Beliau berkata, Malaysia sentiasa mengalu-alukan inisiatif baharu oleh Jepun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN