DUN Perak: Pantau cubaan melombong haram unsur nadir bumi - Utusan Malaysia

DUN Perak: Pantau cubaan melombong haram unsur nadir bumi

SAARANI Mohamad dalam sidang akhbar di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perak memantau usaha mengeluar dan mengeksport unsur nadi bumi bukan radioaktif (NRREE) lantanida secara haram di negeri ini ekoran permintaan tinggi dalam pasaran.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, proses mengeluarkan NRREE yang mudah juga menjadi pendorong mengapa wujud kecenderungan untuk mengekstrak hasil bumi itu tanpa mengikut undang-undang.

Katanya, pemantauan juga dibuat di pintu perdagangan negara bagi memastikan kawalan ketat dilakukan kerana ada kemungkinan pelombong haram membuat pengisytiharan palsu untuk dieksport.

“Akhir-akhir ini kita dimaklumkan bahawa terdapat usaha-usaha, minat atau kecenderungan di kalangan orang-orang tertentu untuk melakukan proses mengekstrak hasil bumi ini secara haram. Kerana itu, kerajaan negeri dan Pusat kita sedang meneliti dan memantau.

“Kita berhati-hati supaya apa yang telah berlaku di sebuah negeri lain sebelum ini tidak akan berlaku di negeri Perak. Ini kerana proses unutk mengeluarkan NRREE ini tidak sukar. Tidak seperti bijih timah yang memerlukan kapal korek,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ketika menjawab soalan tambahan daripada Mohd. Fakhruddin Abdul Aziz (PN-Kamunting) di sini hari ini.

Tambahnya, kerajaan negeri turut bimbang jika keadaan tidak terkawal sehingga sanggup melupuskan tanaman seperti getah dan sawit semata-mata mahu menggali NRREE kerana menganggap sumber bumi itu lebih bernilai.

“Kita sedang memantau apakah kaedah dan cara yang sedang digunakan oleh mereka yang cuba mengusahakan secara haram ini. Ada sedikit kawalan iaitu tiada satu badan yang akan menjadi pengumpul bahan ini untuk mereka jual.

“Tetapi ada kemungkinan mereka melihat (loophole) ruang yang berlaku di pelabuhan dan sebagainya dengan mengisytiharkan bahan itu bukan NRREE. Itu juga kita pantau,” katanya.

Saarani berkata, laporan polis juga ada dibuat berhubung aktiviti haram tersebut kerana hasil dalam bumi adalah milik kerajaan negeri.

“Kita hendak ingatkan orang ramai, tidak boleh sewenang-wenangnya mengeluarkan NRREE tanpa terlebih dahulu mendapat kebenarakan melombong, walaupun tanah sendiri.

Katanya juga, projek rintis perlombongan NRREE melibatkan tanah seluas 87 hektar di Mukim Kenering, Gerik, telah memberikan hasil tambahan kepada kerajaan negeri Perak.

Jelasnya, kadar royalti yang dikenakan kepada pihak penggerak projek adalah sebanyak 12 peratus daripada harga jualan NRREE.

Sehingga September 2023, pihak penggerak projek telah menjelaskan bayaran royalti sebanyak hampir RM21.12 juta melalui pengeksportan negara China. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya