Doktor klinik swasta dituduh palsukan dokumen vaksinasi Covid-19 - Utusan Malaysia

Doktor klinik swasta dituduh palsukan dokumen vaksinasi Covid-19

MUHAMAD Reze Rashid (kiri) mengaku tidak bersalah atas 10 pertuduhan berkaitan sijil vaksinasi Covid-19 palsu ketika hadir di Mahkamah Majistret Marang, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Seorang doktor klinik swasta dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas 10 tuduhan membuat catatan dan dokumen palsu berkaitan sijil vaksinasi Covid-19, dua tahun lalu.

Tertuduh, Muhamad Reze Rashid, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta untuk dibicarakan sebaik kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zur Azureen Zainalkefli hari ini.

Mengikut pertuduhan pertama, Muhamad Reze didakwa dengan niat membuat catatan palsu berhubung status penerimaan vaksin Covid-19 kepada seorang lelaki yang berumur 44 tahun.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 477A Kanun Keseksaan (KK).

Bagi pertuduhan kedua, Muhamad Reze didakwa membuat dokumen palsu secara ‘fraud’ dengan menyempurnakan dokumen iaitu kad peringatan vaksin kepada penerima yang sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 464(a) KK dan berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Selain itu, doktor berkenaan turut berdepan lapan lagi pertuduhan di depan majistret iaitu masing-masing empat pertuduhan Seksyen 477A dan empat lagi dibawah Seksyen 464(a) KK.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah klinik swasta di Kampung Rhu Rendang dekat sini antara 7 sehingga 23 Disember 2021.

Selepas merekodkan pengakuan tertuduh, mahkamah kemudian menetapkan 17 Januari 2024 sebagai tarikh sebutan semula kes selain membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah manakala tertuduh diwakili Najib Zakaria dan Azahir Nasir selaku peguam.

Januari tahun lalu media melaporkan kegiatan seorang doktor mengeluarkan sijil vaksin Covid-19 palsu kepada golongan anti vaksin terbongkar menerusi serbuan yang membawa kepada penahanan suspek.

Aktiviti itu disyaki bermula sejak September 2021 dengan suspek dikatakan mengenakan caj bayaran antara RM400 sehingga RM600 bagi setiap sijil yang dijual secara atas talian itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya