Dividen SSPN dijangka meningkat

Dividen SSPN dijangka meningkat tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) merekodkan pulangan pelaburan deposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebanyak RM287.64 juta bagi tempoh Januari sehingga September lalu.

Hal ini sekali gus menyaksikan pencapaian hasil pelaburan lebih baik berbanding RM220.63 juta bagi tempoh yang sama pada tahun 2022. 

Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, justeru, pihaknya menjangkakan kadar dividen Simpan SSPN bagi tahun ini akan meningkat berbanding 2022 yang pernah menyaksikan agihan sebanyak 3.05 peratus.

Katanya, ia setelah melihat kepada peningkatan keuntungan pelaburan dan trend prestasi deposit SSPN yang membanggakan setiap tahun serta disokong dengan pelbagai keistimewaan dan manfaat simpanan itu.

“Peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 3.00 peratus pada 3 Mei lalu sehingga kini membantu pihaknya memperolehi pulangan pelaburan yang lebih konsisten. Peningkatan keuntungan disokong oleh kaedah pelaburan patuh syariah berjangka pendek dan panjang di pasaran wang tempatan yang melindungi prinsipal di samping memberikan pulangan tinggi dan positif. 

“Pemantapan strategi pelaburan dengan menumpukan kepada simpanan tetap jangka panjang telah berjaya meningkatkan pulangan pelaburan. Di samping itu, penglibatan pelaburan dalam pasaran sukuk juga membantu dalam peningkatan pulangan pelaburan tersebut. 

“Ia adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan simpanan dalam Simpan SSPN sentiasa terjamin dan dilindungi,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Norliza berkata, PTPTN menasihatkan ibu bapa untuk membuat simpanan di simpan SSPN kerana pelbagai keistimewaan dan manfaat turut dinikmati oleh pendeposit antaranya produk simpanan itu merupakan satu-satunya yang menawarkan pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan bersih sehingga RM8,000 setahun.

“Selain itu, ia turut memberikan perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, simpanan yang dijamin kerajaan dan patuh syariah,” ujarnya.

Norliza berkata, PTPTN terus komited untuk meningkatkan kesedaran masyarakat agar terus menabung di dalam SSPN bagi mengelakkan kebergantungan kepada pinjaman dan yakin usaha itu akan disokong oleh semua pihak bagi merealisasikan visinya sebagai ‘Peneraju Tabung Pendidikan Tinggi Negara’.

“PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi terus komited memperkasakan amalan penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional atau Simpan SSPN,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya