PETALING JAYA: Peguam mewakili wanita yang mendakwa diganggu secara seksual oleh Ketua Pengarah sebuah agensi masih menunggu siasatan polis selesai sebelum kertas siasatan dihantar semula ke Pejabat Peguam Negara.
Peguam, Zaflee Pakwanteh berkata, pihaknya masih menunggu hasil siasatan dijalankan pihak polis untuk dihantar semula ke Pejabat Peguam Negara.
“Anak guam saya setakat ini telah dipanggil memberi keterangan.
“Jadi buat masa ini, kita masih menunggu hasil siasatan polis dan Pejabat Peguam Negara,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Bulan lalu, tular di media sosial mengenai laporan polis dibuat oleh mangsa yang juga penasihat pelaburan mendakwa diganggu secara seksual oleh individu berpangkat datuk yang merupakan Ketua Pengarah sebuah agensi keselamatan.
Mangsa mendedahkan mereka bertemu di pejabat suspek untuk menawarkan peluang pelaburan kewangan.
Bagaimanapun, suspek didakwa berterusan mengganggu mangsa dengan menghubungi dan cuba mengajak wanita itu ke hotel serta menghantar video berunsur lucah kepada mangsa.
Susulan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, pihaknya sudah pun membuka kertas siasatan susulan laporan diterima dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan (gangguan seksual).
Katanya, kes juga disiasat mengikut Seksyen 507A Kanun Keseksaan (kesalahan menghendap), Seksyen 292 Kanun Keseksaan (memiliki bahan lucah) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 (menggunakan perkataan kurang sopan).
30 November lalu, Razarudin mengesahkan pihaknya telah memanggil lima saksi bagi dirakam percakapan kes tersebut dan siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara. – UTUSAN