Cadang undang-undang berkaitan pengumpulan dana awam NGO

Cadang undang-undang berkaitan pengumpulan dana awam NGO

AHMAD SABKI YUSUF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) melihat keperluan untuk menyeragamkan undang-undang berkaitan standard pelaporan kewangan yang khusus kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang melakukan aktiviti pengumpulan dana awam.

Menurut Pengerusi SSM, Ahmad Sabki Yusof, salah satu kelompongan yang berlaku dalam undang-undang sedia ada ketika ini adalah melibatkan banyak akta mengikut agensi yang didaftarkan NGO berkenaan.

“Salah satu kekurangan adalah berkaitan standard pelaporan kewangan yang khusus kepada badan awam yang guna dana awam. Pelaporan mereka kini sama dengan syarikat atau pertubuhan lain walaupun berbeza operasi kerana mereka ambil dana awam dan belanjanya untuk kerja kebajikan.

“Saya percaya perlu dibangunkan satu standard pelaporan kewangan khusus untuk mereka, ianya salah satu daripada ruang penambahbaikan yang boleh dibuat. 

“Kedua, mesti ada penyatuan undang-undang untuk mereka iaitu perlu ada perundangan khusus atau akta yang terpakai termasuk yang berada di bawah kuasa kerajaan negeri kerana ketika ini banyak NGO melalui kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Program Bimbingan Usahawan 2023 (PBU23) Peringkat Negeri Kedah & Perlis (Zon Utara) di Dewan Centennial Kolej Sultan Abdul Hamid di sini hari ini.

Katanya, perkara itu perlu dilakukan sebagai penambahbaikan termasuk memulihkan kepercayaan masyarakat kepada badan kebajikan atau NGO terlibat dengan pengumpulan dana awam itu.

“Kalau tidak ada satu undang-undang khusus, lama-kelamaan orang ramai akan hilang kepercayaan dan rakyat takut untuk menderma kerana ada dalam kalangan mereka yang tidak mematuhi amalan kewangan yang baik,” jelasnya.

Katanya, ketika ini terdapat beberapa agensi yang terlibat memantau NGO atau badan kebajikan tersebut mengikut akta berbeza yang diperuntukkan di bawah bidang kuasa masing-masing.

“Di Malaysia ada badan mengawal selia NGO ini termasuk SSM di bawah Akta Syarikat 2016 dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) di bawah Akta Pertubuhan 1966. Ada juga didaftarkan di bawah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) di Jabatan Perdana Menteri yang melibatkan Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952.

“Timbul isu di mana adakah tadbir urus bersatu yang sama boleh kawal semua pertubuhan ini? SSM ambil berat tentang isu ini dan dibincangkan dalam Mesyuarat Lembaga. Kita berpandangan perlunya satu kajian untuk lihat kerangka perundangan yang boleh menyeragam tata kelola dan tadbir urus NGO atau badan amal untuk pastikan standard sama dipatuhi,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya