HULU TERENGGANU: Penduduk di Projek Penyusunan Semula Kampung (PPSK) Felcra Gunung Menerong, dekat sini masih diselubungi kebimbangan kerana khuatir banjir kembali melanda berikutan ramalan banjir gelombang ketiga di Terengganu dijangka berlaku hingga 26 Disember ini.
Tinjauan mendapati, penduduk juga risau insiden siren amaran banjir tidak berbunyi seperti yang berlaku pada 14 Disember lalu berulang sekiranya bencana melanda.
Seorang penduduk, Norafidah Mohd, 33, berkata, dia belum memindahkan semula segala barangan yang diletakkan lebih tinggi di rumah kerana masih dalam keadaan berjaga-jaga dan hanya mengeluarkan barangan penting untuk kegunaan harian.
Katanya, keadaan itu akan berlanjutan sehingga berakhirnya Monsun Timur Laut (MTL) kerana rumahnya dilanda banjir beberapa kali sepanjang musim tengkujuh.
“Rumah saya sering dilanda banjir tetapi sebelum ini lebih bersedia selepas dengar bunyi siren amaran banjir. Ada ketikanya, sehari selepas siren keluarkan amaran rumah saya baru dinaiki air.
“Dalam kejadian banjir baru-baru ini, air begitu cepat memasuki dalam rumah. Saya cuba kemas mana yang sempat, namun terpaksa ambil keputusan segera pindah kerana air semakin naik,” katanya ketika ditemui di rumahnya dekat sini, semalam.
Seorang lagi penduduk, Norizan Mohd., 31, berharap siren amaran banjir berfungsi dengan baik sekiranya bencana kembali melanda kawasan itu selepas ini.
Katanya, pengalaman mengharung air sedalam kira-kira 0.5 meter sepanjang hampir 50 meter dengan dua anak berusia lima dan dua tahun, baru-baru ini menakutkan.
Sementara itu, penduduk dinasihatkan lebih berwaspada berikutan jangkaan hujan lebat berterusan tiga hari sehingga Isnin ini yang berisiko menyebabkan banjir gelombang ketiga.
Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) Terengganu, Rosli Zakaria @ Che Kob berkata, berdasarkan kepada imej satelit terkini, kelompok awan hujan yang aktif masih tertumpu di tengah Laut China Selatan.
Menurutnya, kawasan penumpuan ini sedikit-sebanyak menyerap impak luruan monsun yang sedang berlaku.
“Kelompok awan aktif beserta angin kencang tersebut dijangka memasuki Terengganu. Hujan lebat atau sangat lebat secara berterusan dan menyeluruh boleh berlaku hingga Isnin ini,” katanya.
Baru-baru ini, pihak berkuasa meramalkan banjir gelombang ketiga melanda Terengganu dalam tempoh bermula kelmarin hingga 26 Disember ini berikutan pertembungan ribut Jelawat dan angin tropika di Laut China Selatan.
Banjir gelombang pertama mula melanda Terengganu pada 20 November lalu dan berakhir pada 30 November melibatkan tujuh daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu, Dungun, Besut, Marang dan Kemaman. – UTUSAN










