PETALING JAYA: Malaysia dan dunia Islam perlu memberi tekanan ekonomi kepada Israel, iaitu memutuskan hubungan perdagangan dengan syarikat berkaitan negara tersebut sebagai langkah memaksa serangan tidak berperikemanusiaannya terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza dihentikan.
Tindakan tersebut dilihat sebagai satu langkah paling praktikal untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai yang dihadapi rakyat Palestin ketika ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Penyelidikan Disiplin dan Antarabangsa (IRIS Institute), Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim berkata, walaupun tidak mempunyai hubungan diplomasi dengan Israel, Malaysia ada melakukan perdagangan dengan syarikat berkaitan rejim Zionis.
Katanya, ia secara tidak langsung membantu membangunkan ekonomi Israel kerana syarikat tersebut memberi sumbangan untuk membiayai rejim Zionis.
“Jika dihentikan semua perdagangan dengan syarikat yang membiayai rejim Israel, ia sememangnya memberi kesan. Mereka ketika ini berani meneruskan peperangan sebabnya mereka yakin ekonomi negaranya tidak akan runtuh,” katanya ketika dihubungi semalam.
Mengakui tindakan keras tersebut turut memberi kesan kepada ekonomi negara, Syed Ahmad Israa’ berkata, ia masih lagi boleh diuruskan dan negara mempunyai banyak alternatif lain.
Menurutnya, tindakan itu yang boleh dan sepatutnya diambil seluruh negara Islam namun memerlukan pendirian politik yang jelas untuk melawan Israel.
“Hakikatnya sangat banyak potensi ekonomi tempatan telah terabai dan tidak dibangunkan kerana lebih selesa bergantung kepada syarikat luar negara.
“Pada masa sama, ini juga patut menjadi wake up call mengapa kita bimbang jika memberi tekanan ekonomi kepada Israel jika ia tidak cocok dengan kepentingan negara. Apakah kerana kita sudah bergantung ekonomi kepada mereka?,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan negara Islam untuk membantu Palestin sepatutnya jauh lebih keras berbanding mengenakan tekanan ekonomi bahkan melakukan apa yang dibuat Amerika Syarikat dan United Kingdom (UK) yang menghantar bantuan persenjataan kepada Israel.
“Jangan bercakap soal bantuan kemanusiaan kerana ia boleh dilakukan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Bantuan kemanusiaan hanya boleh meringankan derita mereka tetapi tidak mampu membantu rakyat Palestin kekal di tanah airnya sendiri atau daripada dibunuh rejim Zionis,” katanya.
Sehingga kini, pada hari ke-68 pembunuhan beramai-ramai tentera Zionis terhadap rakyat Palestin, seramai lebih 18,000 orang meninggal dunia dengan hampir 10,000 lagi hilang dipercayai meninggal dunia di bawah runtuhan bangunan.
Daripada jumlah itu, lebih separuh adalah kanak-kanak, wanita dan warga emas.
Pada masa sama, hampir 1.9 juta penduduk Gaza hilang tempat tinggal dan menjadi pelarian di tanah air sendiri. – UTUSAN










