Berapa banyak negara berbahasa Inggeris yang maju? %

Berapa banyak negara berbahasa Inggeris yang maju?

RAMAI yang memperlekehkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika beliau berucap menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tidak lama dulu
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK dari kecil kita sering dimomokkan dengan istilah mahu maju mesti menguasai bahasa Inggeris. Bahasa penjajah itu dianggap sebagai syarat utama jika kita mahu memajukan negara. Tanpa bahasa Inggeris kita tidak akan ke mana.

Kerana tanggapan, persepsi atau mungkin juga momokan maka wujud cadangan supaya bahasa Inggeris digunakan untuk mengajar sains dan matematik oleh para pentaksubnya.

Alasannya lebih senang untuk faham dan istilah-istilahnya lebih mudah digunakan.

Mereka yang menyokong aliran ini merasakan jika kita terus menggunakan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan, rakyat kita tidak akan capai apa-apa, dan sasaran untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju tidak akan terlaksana.

Pada mereka hanya bahasa Inggeris yang akan dapat menjulang nama Malaysia. Bahasa Melayu tidak akan menyebabkan kita kekal mundur. Sebab itu apabila ada pemimpin yang berbahasa Melayu di pentas antarabangsa, mereka di perlekehkan dan dijadikan bahan jenaka.

Sedangkan majoriti pemimpin utama dunia lain hanya bertutur menggunakan bahasa kebangsaan mereka dengan bangga sebagai tanda mereka mewakili sebuah negara dan bangsa yang berdaulat.

Kerana taksub hanya bahasa Inggeris yang boleh memajukan diri dan negara kita, maka ramailah ibu bapa yang berkemampuan termasuk sebahagian pemimpin politik kita menghantar anak ke sekolah antarabangsa.

Mereka (termasuk sebahagian penggubal dasar pendidikan negara) tidak percaya akan sistem sekolah kebangsaan yang berpengantarkan Bahasa Melayu.

Ketika bahasa Indonesia diiktiraf sebagai bahasa rasmi ke-10 di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kita di Malaysia masih bertelagah dan bercakaran untuk memartabatkan bahasa kebangsaan.

Ketika negara lain berpegang kepada bahasa kebangsaan mereka untuk melonjak menjadi kuasa ekonomi yang terkuat, kita pula berusaha keras untuk meminggirkan bahasa rasmi sendiri dengan alasan ia penghalang kepada kemajuan.

Sikap tidak melihat kepada realiti dan berpijak di bumi nyata menyebabkan kumpulan ini sentiasa memperlekehkan apa yang kita ada.

Tabiat suka menyanjung apa yang dimiliki pihak luar menyebabkan negara kita terus ketinggalan dan akhirnya tidak memiliki identiti atau produk sendiri untuk ditonjolkan di mata dunia.

Kalau benarlah hanya dengan bahasa Inggeris sahaja sesebuah negara boleh maju, cuba kita bertanya secara jujur, berapa banyak negara yang dikategorikan sebagai negara maju bahasa rasminya adalah bahasa Inggeris?

Kayu ukur sama ada sesebuah negara itu maju atau tidak bukan terletak pada bahasa yang digunakan. Salah satu ciri utama negara maju ialah taraf hidup penduduk mereka yang tinggi.
Penduduk di negara yang diketegorikan sebagai maju mempunyai akses kepada pelbagai jenis barangan dan perkhidmatan, termasuk penjagaan kesihatan, pendidikan dan pengangkutan yang berkualiti tinggi.

Negara-negara ini juga biasanya mempunyai jaringan keselamatan sosial yang dibangunkan dengan baik, yang membantu memastikan semua rakyat mendapat akses kepada keperluan asas kehidupan.

Satu lagi cirinya ialah ekonomi mereka yang pesat berkembang. Negara-negara maju biasanya mempunyai ekonomi yang sangat pelbagai. Tonggaknya sudah tentu pada industri perkhidmatan seperti kewangan, penjagaan kesihatan dan teknologi.

Mereka juga cenderung mempunyai tenaga kerja yang berpendidikan tinggi, dengan ramai warganegara memegang ijazah bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan lain-lain. Bahasa bukan syarat utama untuk menjadi maju.

Sebab itu boleh dibilang dengan jari negara maju yang bahasa rasminya adalah bahasa Inggeri.

Mendahului senarai ranking negara maju berdasar Indeks Pembangunan Manusia (HDI) adakah Switzerland yang bahasa rasminya terdiri daripada Roman, Jerman, Perancis dan Itali. Tidak ada pun bahasa Inggeris. Tetapi tamadun mereka tinggi. Mereka maju daripada segi ekonomi, teknologi, industri begitu juga sahsiah.

Mengikut di belakang Switzerland dalam senarai 20 negara paling maju di dunia berdasarkan HDI mereka Norway, Iceland, Hong Kong, Australia, Denmark, Sweden, Ireland, Jerman, Belanda, Finland, Singapura, Belgium, New Zealand, Kanada, Liechtenstein, Luxembourg, United Kingdom, Jepun, dan Korea Selatan.

Daripada 20 ini hanya lima negara yang bahasa rasminya adalah Inggeris iaitu Ireland, Singapura, New Zealand, Kanada dan United Kingdom. Itupun Singapura majoriti rakyat berbahasa Mandarin atau dialek China yang lain. Sementara Kanada sebahagian besar rakyatnya berbahasa Perancis. Yang betul-betul 100 peratus berbahasa Inggeris ialah Ireland, New Zealand dan UK.

Empat negara terhebat dunia iaitu Switzerland, Norway, Iceland dan Hong Kong bukan negara penutur bahasa Inggeris. Kenapa mereka boleh maju?

Bukannya hendak merendahkan kepentingan bahasa Inggeris, tetapi ketika mahu menggalakkan rakyat menguasainya jangan sampai meminggirkan atau ke tahap menghina bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan.

Seolah-olah bahasa Melayu langsung tidak ada standard dan tidak layak dijadikan digunakan untuk mengajar subjek yang berkaitan teknologi. Seolah-olah tanpa menguasai bahasa Inggeris Malaysia tidak akan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Sedangkan, kalau kita lihat idea dan produk hebat yang dihasilkan hingga mampu mengubah dunia bukannya dihasilkan oleh negara-negara yang berbahasa Inggeris.

Sebab itu ada peribahasa Melayu mengatakan, kalau melihat bintang di langit jangan lupa rumput di bumi yang kita pijak setiap hari. Para pendokong aliran bahasa Inggeris ini kadang-kadang bertindak melampaui batasan hingga ke tahap menghina bahasa kebangsaan.

Di Asia kita boleh lihat China,Jepun dan Korea Selatan yang menjadikan semangat kebangsaan termasuk bahasa mereka sebagai teras untuk menjadikan mereka sebuah negara maju. Boleh dikatakan setiap rumah di muka bumi ini memiliki sekurang-kurang satu barangan yang dihasilkan dari tiga negara ini.

Apakah bahasa menjadi halangan untuk mereka maju? Sudah tentu tidak.

Ketika kita berpolemik tentang bahasa mana yang mahu digunakan jika negara mahu maju, orang lain sudah melangkah jauh ke depan hanya dengan bahasa kuno mereka. Tidak mustahil selepas ini Indonesia mampu menyusul untuk menjadi salah satu kuasa ekonomi Asia.

Pada masa ini Indonesia sudah berjaya menggunakan bahasa untuk menyatukan rakyatnya. Mereka tanpa mengira kaum, keturunan dan agama hanya bertutur satu bahasa.

Sedangkan masa kita hanya dihabiskan untuk bertelagah tentang bahasa. Pihak yang mempertahankan bahasa Melayu dianggap rasis. Kumpulan yang mempertahankan bahasa ibunda dikatakan mempertahankan hak, sementara aliran yang mengagungkan bahasa asing pula dikatakan maju kemajuan.

Tengoklah dunia di sekeliling kita. Ada atau tidak negara yang mencapai kemajuan dengan meminggirkan bahasa kebangsaan atau bahasa asal mereka? Rasanya tidak ada.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya