FAM terbuka terima pandangan, kritikan kegagalan pasukan B-23 - Utusan Malaysia

FAM terbuka terima pandangan, kritikan kegagalan pasukan B-23

MUHAMMAD Fiqri Firdaus Muhammad Rom (dua dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada Mohd. Yusoff pada Majlis Perasmian Taklimat dan Undian Kejohanan Seremban Football League 2024 di Seremban hari ini.-UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terbuka dalam menerima pandangan serta kritikan ramai susulan kegagalan skuad bawah 23 Tahun (B-23) lebangsaan dalam Kempen Piala Asia B-23 2024 di Qatar baru-baru ini.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi berkata, apabila pasukan negara menyertai sesuatu pertandingan serta kejohanan sudah tentu banyak pihak memberikan pandangan masing-masing dan FAM akan mengambil kesemuanya termasuk kritikan dari sudut positif 

“FAM mendengar setiap pandangan dan kritikan yang dilontarkan dan kami mengambilnya dari sudut positif. Maknanya di sini para penyokong memberi maklum balas terhadap pasukan negara dan sayangkan pasukan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Perasmian Taklimat dan Undian Kejohanan Seremban Football League 2024 di sini, hari ini. 

Hadir sama, Pengerusi Seremban Football League (SFL), Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom.

Skuad bawah B-23 kebangsaan menutup kempen kejohanan itu tanpa sebarang kemenangan selepas tewas kepada pasukan Uzbekistan, Vietnam dan Kuwait.

Mohd. Yusoff dalam pada itu mengakui, banyak pihak meletakkan harapan yang begitu tinggi terhadap skuad B-23 dalam kejohanan Asia tersebut. 

“FAM perlu sedia memperbaiki dan kami tidak boleh hanya memekakkan telinga. Bagaimanapun kita sebenarnya boleh berbangga dengan pencapaian pasukan itu yang telah pun sampai ke peringkat Asia, dulu nak sampai ke peringkat tersebut pun pasukan kita merangkak.

“Bukan mudah sebenarnya, tetapi kita kena buat kerja dan perlu berusaha meningkatkan prestasi pasukan,” katanya yang memberitahu satu laporan lengkap prestasi pasukan itu sedang dibuat sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan badan induk itu. 

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Liga Bola Sepak Amatur (AFL) berkata, kejohanan SFL yang dianjurkan ini mampu menjadi platform buat pemain-pemain muda untuk mengembangkan lagi bakat mereka. 

“Pada masa sama, dapat mengasuh pemain-pemain ini dan pasukan mereka untuk lebih ke era profesional pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Fiqri berkata, pihaknya menyasarkan sebanyak 24 pasukan untuk mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut yang akan bermula 11 Mei ini.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN