Belanjawan Perlis: Kerajaan negeri umum bonus setengah bulan gaji - Utusan Malaysia

Belanjawan Perlis: Kerajaan negeri umum bonus setengah bulan gaji

MOHD Shukri Ramli menunjukkan buku Belanjawan 2024 Negeri Perlis yang dibentangkan di Kompleks DUN, Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) setengah bulan gaji tertakluk kepada jumlah minimum RM2,000 buat semua penjawat awam di Perlis.

Pembayaran bagi pemberian berkenaan akan dibuat menjelang akhir bulan Februari 2024 sebagai menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam di negeri ini.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, selain itu, bagi menghargai sumbangan pegawai lantikan kontrak di bawah kerajaan negeri, tawaran kadar gaji baharu juga akan dilaksanakan bermula tahun hadapan dengan peningkatan yang bersesuaian melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM93,000.

“Pastinya cadangan ini adalah seiring dengan manifesto kerajaan negeri yang ingin memberi fokus kepada kebajikan rakyat di negeri Perlis,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 Perlis dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Shukri berkata, bermula tahun hadapan, kerajaan negeri juga bersetuju untuk menambah baik kemudahan kepada pengawai lantikan secara kontrak di Perlis.

Katanya, penambahbaikan itu adalah meliputi pemberian cuti bersalin, cuti isteri bersalin, cuti kuarantin dan cuti hospitalisasi.

“Pelaksanaan inisiatif ini akan memberi manfaat kepada seramai 154 orang pegawai lantikan di negeri ini. Malah kerajaan negeri juga sentiasa cakna dan prihatin terhadap kebajikan semua penjawat awam yang berkhidmat di negeri ini tidak terkecuali pegawai lantikan secara kontrak (contact for service),” katanya.

Di samping itu, Mohd. Shukri berkata, Belanjawan 2024 merupakan komitmen dan keikhlasan kerajaan negeri bagi memastikan setiap rakyat merasai nikmat serta kesejahteraan di Perlis.

Tambahnya, dalam keadaan dunia semasa yang penuh cabaran ketika ini, setiap pihak harus kekal komited dan bersatu hati bagi memastikan setiap perancangan dapat menjadi realiti.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya