Belanjawan 2024 Perlis peruntuk RM293.92 juta, terbesar dalam sejarah - Utusan Malaysia

Belanjawan 2024 Perlis peruntuk RM293.92 juta, terbesar dalam sejarah

MOHD Shukri Ramli (tiga dari kanan) menunjukkan buku Belanjawan 2024 Negeri Perlis yang dibentangkan di Kompleks DUN, Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri membentangkan Belanjawan 2024 dengan memperuntukkan sebanyak RM293.92 juta sekali gus menjadi peruntukan terbesar pernah dibentangkan.

Sebanyak RM184.64 juta meliputi 62.82 peratus bagi perbelanjaan mengurus manakala RM109.27 atau 37.18 peratus pula disediakan di bawah perbelanjaan pembangunan.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli ketika membentangkan belanjawan bertemakan ‘Melestarikan Ekonomi Negeri Demi Kesejahteraan Rakyat’ itu berkata, kerajaan negeri akan memberi penekanan kepada tiga fokus utama iaitu peningkatan sosio ekonomi rakyat, pengukuhan ekonomi mampan dan pemerkasaan sistem penyampaian perkhidmatan.

Katanya, secara keseluruhan, perbelanjaan mengurus bagi tahun 2024 meningkat sebanyak RM4.23 juta atau 2.34 peratus berbanding tahun 2023.

“Bagi peruntukan pembangunan, sebanyak 56.84 peratus daripada peruntukan ini adalah dibiayai melalui pinjaman daripada kerajaan Persekutuan bagi tujuan projek peningkatan prasarana untuk kemudahan rakyat,” katanya sewaktu membentangkan Belanjawan 2024 dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Tambah Mohd. Shukri, kerajaan negeri juga menganggarkan kutipan hasil bagi tahun 2024 berjumlah RM113.24 juta yang disumbangkan menerusi hasil cukai (RM22.02 juta), hasil bukan cukai (RM24.31 juta) dan Terimaan Bukan Hasil (RM66.91 juta).

Katanya, berdasarkan anggaran ini, kutipan hasil negeri dijangka meningkat kepada RM1 juta atau 0.89 peratus berbanding tahun 2023.

“Dengan anggaran hasil ini, kerajaan negeri diunjurkan mengalami defisit sebanyak RM71.4 juta pada tahun 2024, iaitu peningkatan sebanyak RM3.2 juta atau 4.73 peratus berbanding RM68.18 juta pada tahun 2023,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Shukri berkata Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Perlis juga berkembang 5.7 peratus pada tahun 2022 dengan nilai RM6.2 bilion berbanding tahun sebelumnya.

Ujarnya, sektor perkhidmatan juga masih kekal sebagai sektor utama yang memacu ekonomi negeri dengan sumbangan sebanyak 70.2 peratus kepada keseluruhan KDNK negeri dengan nilai RM4.4 bilion.

“Ini diikuti dengan sektor pertanian (16.9 peratus), pembuatan (7.9 peratus), pembinaan (2.5 peratus) dan perlombongan (0.5 peratus),” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya