Jaga keselamatan anak-anak ketika banjir

Jaga keselamatan anak-anak ketika banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kebelakangan ini banyak berita kejadian tidak diingini dan menyedihkan menimpa kanak-kanak.

Antaranya, kanak-kanak terkurung di dalam kereta dan meninggal dunia akibat kepanasan, kanak-kanak maut selepas terjatuh di dalam sungai, terkena renjatan elektrik dan terbaharu kanak-kanak lelaki yang hilang selepas bermain di luar rumah dan akhirnya mayatnya ditemui di dalam longkang.

Kejadian malang ini perlu dijadikan iktibar oleh semua ibu bapa supaya sentiasa mengutamakan keselamatan anak masing-masing dan mengawasi mereka ketika bermain di luar rumah.
Tambahan pula musim tengkujuh ketika ini, anak tidak sepatutnya dibiarkan bermain di luar tanpa pengawasan kerana risiko kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa.

Pakar Perubatan Keluarga (Prawarta), Klinik Kesihatan Seremban 2, Dr. Nur Aishah Abdul Latiff berkata, kanak-kanak boleh terdedah kepada pelbagai risiko jika dibiarkan bermain sendirian pada musim hujan.

“Ketika hujan biasanya paras air di takungan seperti longkang boleh meningkat. Arus air juga akan menjadi sangat deras walaupun selepas hujan. Kanak-kanak yang bermain sekitar kawasan ini berisiko jatuh ke dalam takungan air. Mereka boleh dihanyutkan oleh arus deras dan berkemungkinan boleh mengalami lemas akibat tertelan air,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Tambah beliau, selain itu, kanak-kanak juga tidak sepatutnya dibiarkan bermain hujan atau air banjir kerana boleh terdedah kepada risiko terpijak objek tajam seperti paku dan kaca.

“Dalam konteks ketika bencana banjir, ibu bapa perlu memastikan anak-anak menjauhi kawasan banjir. Ini termasuk taman permainan kerana risiko yang disebutkan boleh menimpa anak.

“Sebaiknya, berpindah ke pusat pemindahan yang diarahkan atau kekal berada di rumah sekiranya keadaan diizinkan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Tambah Dr. Nur Aishah, lebih membimbangkan kanak-kanak juga boleh terdedah kepada risiko mengalami renjatan elektrik kerana arus elektrik boleh mengalir dengan baik di dalam air.

Ini kerana arus elektrik tidak boleh dilihat oleh mata kasar dan boleh membawa maut sekiranya tersentuh dengan arus atau sumber aliran elektrik. Oleh itu, agak sukar untuk memastikan sama ada sesuatu kawasan itu selamat atau tidak.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah mengumumkan orang ramai perlu memaklumkan sekiranya banjir berlaku di kawasan kediaman supaya pemotongan elektrik sementara dilakukan sehingga air surut.

“Orang ramai perlu mengambil tahu risiko renjatan elektrik menerusi panduan bagi mencegah risiko. Antaranya, mengelakkan menyentuh peralatan elektronik atau kabel yang terendam di dalam air. Sebaiknya, letak peralatan ini di tempat tinggi.

“Berhenti menggunakan peralatan elektronik dan tutup suis utama termasuk suis panel solar di dalam rumah. Elakkan menghampiri mana-mana pemasangan TNB yang ditenggelami air. Keluarkan palam kuasa barangan elektronik daripada soket dan tutup suis,” katanya.

Jika berdepan dengan mangsa renjatan elektrik, pastikan diri anda selamat dahulu. Jangan terburu-buru mendekati mangsa kerana tenaga elektrik masih mengalir di kawasan itu,

Langkah pertama, sebaiknya tutup suis utama sumber elektrik terlebih dahulu. Orang ramai tidak digalakkan cuba menyelamatkan mangsa sekiranya insiden berlaku di kawasan bervoltan tinggi.
Sekiranya tidak dapat mematikan bekalan elektrik, gunakan objek penebat contohnya dari sumber getah, kain atau kayu untuk memisahkan mangsa dari sumber elektrik. Jika mangsa terbakar, jiruskan dengan air mengalir.

Kemudian, bawa mangsa ke tempat selamat dan dapatkan bantuan kecemasan segera dengan mendial 999 untuk bantuan ambulans dan paramedik.

Air banjir tercemar

Kanak-kanak memang seronok bermain air banjir atau ketika hujan. Bagaimanapun, ibu bapa perlu melarang mereka daripada keluar bermain air.

“Air banjir merupakan air tercemar kerana bercampur kotoran. Air banjir juga berkemungkinan tercemar dengan sistem kumbahan dan sisa kimia.

“Anak boleh terminum air banjir tanpa sengaja ketika bermain air. Ini boleh menyebabkan mereka terdedah kepada pelbagai penyakit berjangkit yang berbahaya,” katanya.

Katanya, dari sudut kesihatan, terminum atau memasak makanan menggunakan air banjir boleh menyebabkan seseorang mendapat penyakit berjangkit bawaan air.

Antaranya kencing tikus, demam kepialu (tifoid), taun(kolera), hepatitis A , cirit-birit dan konjunktivitis iaitu penyakit mata.

Penyakit bawaan air juga sangat bahaya dan boleh membawa maut. Gejala pesakit kencing tikus seakan sama dengan penyakit bawaan air lain seperti cirit-birit, muntah dan demam.

Memandu

Ketika banjir, ibu bapa dinasihatkan tidak memandu ke kawasan dinaiki air apatah lagi jika membawa anak.

“Paras air banjir sukar untuk diramal. Walaupun nampak cetek, kita tidak tahu apa yang terdapat di dalam air. Kedudukan struktur jalan juga boleh berubah disebabkan banjir dan struktur seperti jambatan berisiko untuk roboh.

“Selain itu, elakkan memandu laju kerana roda kenderaan boleh menyatah air dan menyebabkan kenderaan terbabas, “ katanya.

Malah lebih menakutkan pemanduan di kawasan arus air tinggi boleh menyebabkan kenderaan hanyut dibawa arus deras.

Jika anda hilang kawalan terhadap kenderaan dipandu, dinasihatkan meninggalkan kenderaan itu. Segeralah bawa anak atau ahli keluarga keluar dari kenderaan dan pergi ke tempat selamat.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya