Banjir gelombang ketiga di Terengganu pulih - Utusan Malaysia

Banjir gelombang ketiga di Terengganu pulih

PENDUDUK memilih barangan yang masih boleh digunakan selepas rumahnya dilanda banjir di Felda Kerteh 1, Dungun.- UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Banjir gelombang ketiga di Terengganu yang bermula pada 23 Disember lalu pulih sepenuhnya hari ini dengan pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di daerah Kuala Nerus ditutup secara rasmi pada pukul 2 petang tadi.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu berkata, pada sebelah pagi, semua 112 mangsa daripada 33 keluarga di dua PPS daerah Dungun telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing secara berperingkat mulai 10 pagi.

Menurutnya, cuaca yang semakin baik juga membolehkan mangsa terakhir iaitu enam sekeluarga di Dewan Serbaguna Taman Perumahan Wakaf Tengah, Kuala Nerus pulang pada pukul 2 petang tadi.

“Walaupun gelombang ketiga telah pun tamat sepenuhnya hari ini, kita berharap orang ramai terus berhati-hati dengan kemungkinan berlakunya gelombang keempat tidak lama lagi.

“Teruskan berwaspada, ikuti laporan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia dan letakkan semua dokumen penting serta barangan berharga di tempat yang selamat,” katanya.

Pada 20 November lalu, banjir gelombang pertama mula melanda Terengganu dan berakhir pada 30 November melibatkan tujuh daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu, Dungun, Besut, Marang dan Kemaman.

Kemuncak banjir ialah pada 22 November kerana 32 PPS dibuka serentak ketika itu menempatkan 4,787 mangsa daripada 1,260 keluarga di enam daerah.

Banjir gelombang kedua pula bermula pada 14 Disember melibatkan enam daerah iaitu Hulu Terengganu, Setiu, Besut, Dungun, Marang serta Kemaman dan tamat sepenuhnya pada 19 Disember lalu.

Seterusnya, Terengganu kembali dilanda banjir gelombang ketiga pada 23 Disember dengan Dungun menjadi daerah pertama sebelum ia merebak ke lapan daerah yang lain.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my/aras-air melaporkan tiada lagi sungai di Terengganu yang telah melepasi paras bahaya setakat ini.

Namun, tiga sungai iaitu sungai Dungun, Sungai Nerus di Setiu dan Sungai Tersat di Hulu Terengganu masih melepasi paras berjaga-jaga setakat ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya