PETALING JAYA: Situasi banjir di empat buah negeri menunjukkan tanda pemulihan apabila mangsa banjir menurun kepada 17,458 mangsa yang membabitkan 5,743 keluarga berbanding 22,785 orang sebelum ini.
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat setakat pukul 5 petang semalam, negeri-negeri yang masih terlibat adalah Kelantan, Terengganu, Pahang, dan Johor.
Portal itu juga melaporkan 68 pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka setakat ini.
Bagaimanapun Kelantan terus mencatat jumlah mangsa banjir tertinggi dengan 15,822 mangsa diikuti Terengganu (1,462), Pahang (120) dan Johor (55).
Sebelum ini, media melaporkan penumpuan angin dijangka berlaku di selatan Semenanjung dan barat Sarawak pada Sabtu ini hingga 4 Januari depan, berdasarkan analisis model cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).
Laporan harian bencana yang dikeluarkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan keadaan itu boleh menyebabkan peningkatan kelembapan yang berpotensi membawa hujan berterusan di kawasan berkenaan.
Sementara itu di Terengganu, seorang wanita terpaksa meminta bantuan pasukan penyelamat untuk membawa dua anaknya yang demam panas ke klinik selepas kediamannya dikepung banjir di Kampung Paya Kemudi, Dungun, semalam.
Sharifah Abu Bakar, 32, berkata dia bersama dua anaknya, Nor Syakila Imani Mat Naim, 6, dan Nor Saqeena Izz Mat Naim, 2, tidak berpindah berikutan rumahnya yang berada di atas bukit dan tidak terlibat banjir, namun laluan keluar dinaiki air hingga empat meter.
“Kedua-dua anak saya demam sejak semalam. Suami tiada di rumah bekerja, saya tidak berani mendayung sendiri perahu untuk bawa keluar anak. Air di laluan keluar dari rumah saya tinggi hampir cecah tiang elektrik. Memang agak bimbang kalau mahu bawa anak naik perahu.
“Alhamdulillah, pihak bomba datang ambil kami sebelum membawa saya dan anak ke klinik untuk menerima rawatan,” katanya.
Di Johor, keadaan banjir di negeri ini semakin pulih dengan jumlah mangsa banjir berkurangan berbanding kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, sehingga kini hanya daerah Segamat masih terkesan akibat banjir dengan tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka, iaitu di Dewan Komuniti Taman Tasek, Balai Raya Kampung Batu Badak dan Balai Raya Kampung Jabi.
Dalam pada itu, Azmi yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri memberitahu, Sungai Lenik Ladang Chaah di Segamat menghampiri paras bahaya apabila mencatatkan bacaan 5.59 meter. – UTUSAN










