KANGAR: Di usia hampir mencecah 70 tahun, Romli Mahmud yang merupakan pewaris terakhir Awang Batil masih aktif memenuhi jemputan persembahan di seluruh negara.
Bagi Romli atau lebih mesra disapa Bang Li, selagi ada kudrat dan sehingga akhir hayatnya, dia akan terus memperjuang seni warisan negeri ini yang berusia ratusan tahun itu.
Namun jauh di sudut hatinya, dia bimbang jika kesenian itu lenyap selepas ketiadaannya setelah melihat generasi muda bagaikan sudah tidak lagi berminat mempelajarinya.
Romli berkata, meskipun sudah di usia emas, dia masih menerima banyak jemputan persembahan khususnya di negeri ini bagi terus mempromosikan kesenian berkenaan.
Katanya, dalam tempoh sebulan, dia menerima kira-kira lima hingga enam jemputan termasuk melibatkan persembahan di luar negeri ini.
“Selagi ada kudrat, saya terus memperjuang seni warisan ini dengan mengadakan persembahan-persembahan jika menerima jemputan. Alhamdulilah, jemputan persembahan boleh dikatakan sentiasa ada,” katanya.
Untuk rekod, Romli yang merupakan generasi kelima Awang Batil menjadi penglipur lara tersebut agak lewat ketika berusia 41 tahun pada 1997, iaitu 23 tahun selepas bapanya, Allahyarham Mahmud Wahid atau Pak Mahmud menamakan dia sebagai pewaris dalam sebuah persembahan di Kuala Lumpur sekitar tahun 1974.
Di usia emasnya, Romli juga telah diiktiraf sebagai ‘Orang Warisan’ oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) selain diisytihar sebagai Tokoh Orang Hidup 2015 oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan pada tahun berkenaan.
Menurut Romli, ketika ini, dia melihat beberapa anak muridnya berpontensi menjadi pewaris atau pelapis Awang Batil namun perlu menguasai lagi beberapa jenis permainan alatan dan kemahiran penceritaan.
Sebagai rekod, antara cerita lazim yang sering disampaikan Awang Batil ialah seperti Awang Akad Narak, Awang Kambing Berak Keluar Emas, Awang Golok Besar yang kesemua diselitkan dengan unsur komedi tetapi mengandungi nasihat.
Cerita lain yang cukup popular seperti Raja Dewa Lok, Raja Bersiung Raja Berdarah Putih, Anak Lang Pak Belang, Jabat Jabit, Abu Nawas dan Awang Ada Duit Semua Jadi.
Batil dan topeng yang digunakan oleh Romli dalam persembahan juga adalah barang peninggalan terdahulu berusia ratusan tahun. – UTUSAN










