936 kes Covid-19 di Perak minggu lalu - Utusan Malaysia

936 kes Covid-19 di Perak minggu lalu

A. SIVANESAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sebanyak 936 kes Covid-19 direkodkan di negeri ini pada Minggu Epidemiologi ke-50 (ME 50/2023) iaitu dari 10 hingga 16 Disember lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, A. Sivanesan berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 80.7 peratus berbanding jumlah kes yang direkodkan minggu lalu.

Katanya, pendaftaran kes Covid-19 juga menunjukkan trend peningkatan secara mingguan, dengan purata tujuh hari pendaftaran kes iaitu sebanyak 74 kes sehari pada ME 49 berbanding 134 kes bagi ME 50.

“Dari ME 1 hingga ME 50 iaitu bagi tempoh 1 Januari hingga 16 Disember 2023, sebanyak 7,294 kes Covid-19 telah didaftarkan di negeri ini.

“Jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 93.3 peratus berbanding 108,859 kes yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini hari ini.

Menurut beliau, sebanyak 53 kematian akibat Covid-19 dilaporkan sepanjang tahun ini dengan tiga kematian pada minggu lalu.

Katanya, kadar penggunaan katil hospital dan di unit rawatan rapi (ICU) secara keseluruhan termasuk bagi kes bukan Covid-19 adalah sebanyak 68.9 dan 72.7 peratus.

“Meskipun terdapat peningkatan kes Covid-19 yang dilaporkan di negeri ini namun tiada peningkatan ketara bagi kadar kemasukan wad dan penggunaan katil ICU.

“Situasi semasa Covid-19 di Perak setakat ini, masih terkawal. Pemantauan dari semasa ke semasa akan terus dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak,” ujar beliau.

Tambah Sivanesan, tumpuan akan terus diberikan kepada golongan yang berisiko khususnya dalam kalangan warga tua dan yang menghidap penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, penyakit jantung, penyakit respiratori kronik atau kanser.

“Pihak JKN juga telah berhubung dan memberi pendidikan kesihatan dan nasihat langkah pencegahan penyakit Covis-19 di pusat-pusat penjagaan warga emas di negeri Perak,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya