500 mangsa tipu pelaburan rugi RM179 juta mohon campur tangan NFCC

500 mangsa tipu pelaburan rugi RM179 juta mohon campur tangan NFCC

HISHAMUDDIN Hashim (tengah) bersama mangsa menunjukkan surat aduan untuk diserahkan kepada NFCC di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kira-kira 500 mangsa penipuan pelaburan membabitkan kerugian lebih RM179 juta memohon campur tangan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC)bagi membantu menyelesaikan masalah dihadapi mereka.

Mereka mendakwa tiada sebarang tindakan diambil ke atas syarikat-syarikat yang menawarkan skim tersebut.

Kesemua mangsa yang terlibat tampil membuat aduan bersama Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) di ibu pejabat NFCC, di sini agar siasatan segera dijalankan seterusnya membolehkan syarikat berkenaan dikenakan tindakan undang-undang.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, sebelum ini, mangsa-mangsa yang terlibat membuat laporan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Sekuriti (SC) serta Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.

Bagaimanapun, beliau mendakwa ketiga-tiga syarikat yang menawarkan skim pelaburan tersebut masih belum dikenakan sebarang tindakan selain terdapat kes membabitkan mangsa dikategorikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

“MHO menerima lebih kurang 500 aduan daripada pengadu-pengadu berkenaan setelah terlibat dan menyertai skim pelaburan yang ditawarkan beberapa syarikat terkemuka.

“Antara konsep pelaburan saham yang ditawarkan syarikat berkenaan adalah menerbitkan saham kepentingan boleh tebus islamik (RPS-i) dan bukan islamik (RPS), perjanjian langganan berkonsepkan produk islamik sukuk serta perjanjian langgan saham berkonsepkan wang amanah.

“Namun, tawaran-tawaran berkenaan adalah tidak sah di sisi undang-undang kerana syarikat tersebut gagal dan tidak mematuhi undang-undang yang diperuntukkan kerajaan untuk mengawal selia syarikat-syarikat pelaburan di Malaysia,” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, permasalahan timbul apabila mangsa mula tidak menerima bayaran dividen seperti yang dijanjikan syarikat berkenaan dan menjadi semakin meruncing ketika pandemik Covid-19 melanda negara.

Jelasnya, sejak itu tiada sebarang pembayaran dilakukan oleh syarikat dan usaha mangsa untuk berhubung atau bertemu wakil-wakil syarikat menemui jalan buntu.

“Kehadiran kami ke NFCC pada hari ini bertujuan menyerahkan surat aduan dan makluman berkenaan permasalahan yang dihadapi oleh mangsa skim penipuan pelaburan yang mana sehingga hari ini, tiada sebarang tindakan pendakwaan diambil ke atas syarikat-syarikat itu,” ujarnya.

Tambahnya lagi, kebanyakan mangsa bukan sahaja kehilangan wang dilaburkan malah ada yang terpaksa menanggung hutang kerana membuat pinjaman wang untuk menjalankan pelaburan.

Sementara itu, menurut seorang mangsa dikenali sebagai Fazlifah, 48, dia terpaksa menanggung kerugian berjumlah RM150,000 selepas terpengaruh untuk menyertai skim pelaburan bersama salah sebuah syarikat tersebut.

“Pelbagai laporan dibuat bersama mangsa-mangsa lain namun sehingga kini masih tiada sebarang tindakan dikenakan ke atas syarikat itu.

“Saya membuat pelaburan sekitar tahun 2018 melalui ejen selepas melihat syarikat itu mengikut prosedur malah mereka berdaftar dengan SSM dan sebagainya,” ujarnya yang bekerja sendiri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya