250 kaktus serikan kediaman - Utusan Malaysia

250 kaktus serikan kediaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEDIAMAN jenis teres ini bagaikan taman kaktus. Bermula daripada pintu pagar hadapan sehingga ke dalam ruangan rumah diserikan dengan pelbagai varieti tumbuhan berkenaan. 

Pemiliknya, Rohaida Ahmad berkata, kaktus menjadi pilihannya dek keunikan bentuk setiap pokok yang berbeza walaupun daripada jenis yang sama. 

Selain mudah dijaga dengan pemantauan yang sangat minimum, ia juga tidak memerlukan modal yang tinggi sekiranya tahu kaedah penjagaan yang betul. 

“Menurut Islam, tanaman berduri seperti kaktus bermanfaat mengusir jin serta menyerap energi negatif di sekitarnya. 

“Dalam bahasa Arab, kaktus dipanggil ‘sobarotun’, bermaksud pohon penyabar kerana ia mampu hidup berbulan-bulan tanpa air,” katanya kepada Seri

Rohaida memiliki sekitar 250 kaktus yang diletakkan di pelbagai ruang kediamannya. Ini termasuk di hadapan pagar rumah, di beranda, rak-rak kecil, kotak penanaman (planter box) di hadapan dan belakang rumah, ruang tamu serta ruang keluarga di tingkat atas. 

Kaktus indoor diletakkan di ruang ada cahaya dan pengudaraan yang baik bagi memastikan ia hidup sihat dan segar. 

EFEK TENANG DAN DAMAI 

Ruangan luar kediaman, kaktus disusun di dalam pasu yang berbentuk lonjong bagi menjimatkan ruang. 

“Kaktus kecil saya susun di rak dan gantung pada pagar. Kaktus outdoor membuatkan ruang di hadapan dan belakang rumah nampak segar dan tenang seolah-olah berapa di dalam taman. 

Selain dapat menyegarkan mata dan menyerikan ruang kediaman, kaktus-kaktus berkenaan juga dapat memenuhi ruang-ruang kosong di dalam rumah agar tampil lebih menarik. 

Antara varieti pilihan adalah dari famili Opuntia, Cereus, Euphorbia dan Agave. 

Penjagaannya lebih mudah, harga berpatutan serta sesuai dengan iklim Malaysia. 

 

KAKTUS PILIHAN 

Kalau dibuat perbandingan, Rohaida lebih sukakan kaktus bersaiz besar kerana lebih tahan lasak serta kurang risiko untuk mati berbanding jenis yang kecil. 

Ibu kepada tiga anak ini juga gemar bertukar-tukar koleksi sendiri dengan pencinta kaktus lain melalui akaun instagram cactushouse27@ rumahaqeef.amanda. 

“Harga kaktus saban hari semakin melonjak disebabkan permintaan yang tinggi kerana menjadi trend dekorasi terkini dengan menjadikan kaktus sebagai sebahagian dari dekorasi yang unik. 

“Hobi itu mahal tetapi ia boleh didapati dengan harga murah dengan membeli keratan kaktus sahaja dan semai sendiri atau dapatkan secara percuma dengan bertukar koleksi dengan peminat kektus lain di instagram,” katanya. 

Mengenai aspek penjagaan, wanita berusia 38 tahun ini berkata, ia sangat mudah dijaga berbanding dengan tanaman lain. 

Bagaimanapun, penjagaan kaktus indoor dan outdoor tidak sama. 

“Bagi kaktus outdoor, saya lebih suka letak di bawah cahaya matahari sepenuhnya dan biarkan ia bermain hujan dan panas kerana cahaya yang cukup akan membuatkan kaktus mengeluarkan bunga dan cepat membiak. 

“Air hujan pula sangat penting untuk tumbesaran kaktus yang sihat kerana pH air hujan atau kandungan nitrogen dalam air hujan sangat baik dalam membantu proses fotosintesis. 

“Penjagaan kaktus indoor agak berbeza di mana untuk kawasan yang kurang cahaya, sebulan sekali atau dua kali kaktus tersebut perlu dibiarkan beberapa hari di luar untuk sunbath sebelum diletakkan kembali ke tempat asal,” terangnya. 

Kekerapan penyiraman bagi kaktus outdoor seminggu sekali manakala untuk kaktus indoor pula hanya memerlukan siraman apabila tanah betul-betul kering iaitu dua hingga tiga kali sebulan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×