PONTIAN: Dalam tempoh satu jam sahaja, 200 bungkus nasi lemak yang dijual dengan RM1 habis terjual.
Walaupun tetap dijual dengan harga murah, namun Mior Usman Mior Ishak, 26, mengakui mampu menyerap kos peningkatan pelbagai barangan asas pada masa ini.
Malah, menjadi niat mereka sekeluarga untuk berkongsi rezeki dengan orang ramai ketika berniaga di hadapan Taman Utama, Jalan Pontian-Johor Bahru pada setiap pagi.
Mior Usman berkata, setiap hari dia dan bapanya, Mior Ishak Nek, 59, mampu menjual sehingga 200 bungkus nasi lemak yang mula diusahakan sejak Jun tahun ini selepas tamat pengajian di sebuah kolej di Johor Bahru.
Menurut Mior Usman, setiap pagi emaknya, Zainabun Awang, 56, akan memasak nasi lemak dan sambal seawal pukul 1 pagi dan kerja-kerja membungkus pada 5 pagi kerana gerai dibuka seawal 6.40 pagi.
“Tumpuan kami adalah mereka yang bekerja di Pekan Nanas, Johor Bahru dan Singapura, pelajar sekolah serta suri rumah yang membeli sebagai sarapan untuk anak-anak.
“Selain nasi lemak RM1, kami juga menjual nasi lemak ayam dengan harga RM2, nasi lemak berlauk dan bihun goreng pada Jumaat, Sabtu dan Ahad,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Kebiasaannya nasi lemak habis terjual pada pukul 7.30 pagi dan selewat-lewatnya 8 pagi yang dibeli oleh orang ramai yang melalui Jalan Pontian-Johor Bahru.
“Sambil jual murah, kami jadikan jualan ini sebagai bentuk perkongsian rezeki dengan orang ramai termasuk murid-murid yang berhampiran dengan Taman Utama Pontian ini,” katanya. UTUSAN










