1MDB: Malaysia boleh pertimbang tindakan undang-undang

1MDB: Malaysia boleh pertimbang tindakan undang-undang terhadap bank luar negara

JOHARI ABDUL GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia boleh mempertimbang memulakan tindakan undang-undang terhadap beberapa bank di luar negara yang tidak menjalankan proses verifikasi ‘Know Your Client’ (KYC) dengan betul sehingga menyebabkan wang berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terlepas masuk ke akaun-akaun yang tidak sepatutnya.

Pengerusi Pasukan Petugas 1MDB, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, terdapat kira-kira lapan bank antarabangsa yang memudah cara transaksi itu di beberapa negara yang dikenal pasti mempunyai aliran masuk wang daripada skandal 1MDB.

Bagaimanapun, Johari tidak menjelaskan negara-negara berkenaan yang terlibat ketika transaksi wang itu berlaku.

“Jika kita tengok, bergantung jika kita ambil tindakan kepada bank di luar negara ini yang memudah cara pindahan wang dan tidak menggunakan KYC yang betul, mungkin kita boleh mulakan tindakan undang-undang terhadap mereka kerana tidak menjalankan KYC dengan betul.

“Jika kita saman mana-mana bank di semua negara yang mempunyai aliran wang ini dan ia mahu lawan, kita lawan dan selalunya saya tengok jumlah yang tidak besar, kita boleh buat pertimbangan, selesaikan di luar mahkamah.

“Bank ini juga tidak suka namanya terbabit (dalam skandal 1MDB),” katanya malam tadi.

Beliau berkata demikian di akhir sesi bual bicara Naratif Khas bertajuk Mengoptimum Hasil Agrikomoditi Negara Bersama Menteri Perladangan dan Komoditi yang disiarkan stesen televisyen kerajaan.

Sesi bual bicara itu dihoskan personaliti televisyen, Sayed Munawar Sayed Mustar yang bersiaran selama satu jam.

Johari menjawab soalan berasingan daripada Sayed Munawar bertanya mengenai perkembangan terkini isu 1MDB dan perjanjian tuntutan antara Kerajaan Malaysia dengan Goldman Sachs.

Pada 13 Disember lalu, Johari mengesahkan masih meneruskan tugasnya sebagai Pengerusi Pasukan Petugas 1MDB biarpun sudah dilantik sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi, 12 Disember lalu.

Johari berkata, beliau masih perlu menerajui pasukan petugas khas itu kerana ada isu belum diselesaikan terutama bagi mendapatkan semula aset negara yang terkait dengan skandal kewangan itu.

Baru-baru ini, Kumpulan Goldman Sachs menyaman Kerajaan Malaysia di mahkamah United Kingdom (UK) berhubung perjanjian penyelesaian mengenai peranan bank itu dalam skandal rasuah 1MDB yang membabitkan berbilion dolar.

Mengulas lanjut, Johari bagaimanapun berkata, langkah untuk mengambil tindakan undang-undang itu adalah bagi fasa dua.

Katanya, fasa pertama yang menjadi asas ketika ini adalah mendapatkan wang sebanyak yang boleh daripada perjanjian penyelesaian dengan Goldman Sachs, menyaksikan bank pelaburan itu menjamin pulangan AS$1.4 bilion dalam aset 1MDB yang dirampas pihak berkuasa di seluruh dunia.

“Kita sudah sampai satu peringkat pemulihan besar daripada Goldman Sachs. Cuma kita ada pertikaian sikit dari segi syarikat itu mahu membayar AS$1.4 bilion. Ia tidak bayar.

“Walaupun kita sudah bagi lanjutan sebanyak empat kali, ia tidak mahu bayar, jadi kita terpaksa berdepan dengan arbitrasi.

“Arbitrasi ini akan menyebabkan kita perlu pergi ke perbicaraan kes dan lihat keputusannya nanti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya