KANGAR: Perlis terus menjadi lokasi pilihan pelancong dari seluruh negara apabila sepanjang tahun ini merekodkan kemasukan lebih 1.7 juta orang ke negeri ini.
Malah, sempena musim cuti persekolahan Disember ini sahaja, lebih 100,000 orang tidak melepaskan peluang mengunjungi lokasi-lokasi menarik yang penuh ketenangan.
Kehadiran pengunjung itu juga menyaksikan lebih 146 inap desa di negeri ini penuh selain lokasi-lokasi popular seperti Timah Tasoh, Padang Besar, Kuala Perlis, Wang Kelian dan pelbagai lagi tempat padat dengan orang ramai.
Jumlah kehadiran pelancong ke negeri ini dijangka terus meningkat menjelang tahun depan bersempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025.
Terdapat lima skop utama pelancongan di Perlis merangkumi agro pelancongan, eko pelancongan, pelancongan sejarah, seni, warisan dan budaya, pelancongan makanan dan membeli-belah serta pelancongan sukan dan rekreasi sekali gus memberi banyak pilihan apabila pelancong datang ke negeri ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Wan Badariah Wan Saad berkata, November merekodkan paling ramai kemasukan iaitu sebanyak 176,045 orang.
Katanya, malah setiap bulan dari Januari hingga November juga menyaksikan kemasukan lebih 100,000 orang.
“Kehadiran pengunjung itu menyaksikan inap-inap desa atau hotel sentiasa penuh sekali gus turut memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat,” katanya.
Sementara itu, pemerhatian Utusan Malaysia di beberapa lokasi pelancongan dan kedai-kedai makan di Perlis penuh dengan orang ramai khususnya pada hujung minggu lalu.
Antara lokasi yang menjadi tumpuan ramai adalah seperti Gua Kelam, Padang Besar, Kuala Perlis, View Point Wang Kelian, Timah Tasoh yang dipenuhi pengunjung dalam dan luar negeri ini.
Seorang pengunjung dari Kuala Lumpur, Hazrol Iskandar, 25, berkata, dia bersama isteri dan tiga orang anaknya meluangkan masa selama empat hari bercuti di Perlis.
“Selain makanan sedap-sedap, lokasi pelancongan di sini cukup indah yang berlatar belakangkan keindahan alam semula jadi seperti sawah padi, bukit selain dapat menikmati ketenangan. Perlis kini menjadi antara lokasi pelancongan terbaik di negara ini,” katanya. – UTUSAN










