‘Ya Allah! Sahih anak aku dalam kolam ini dah’

‘Ya Allah! Sahih anak aku dalam kolam ini dah’

MOHD. Ali Abdul Rahman menunjukkan gambar anaknya, Muhammad Aidil Adha, 5, yang ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam kolam udang berdekatan rumahnya di Kampung Sungai Emas Hujung, Kota Kuala Muda di Sungai Petani. -UTUSAN/NUR SYAZWANA MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Bapa kepada salah seorang kanak-kanak yang ditemukan lemas di sebuah kolam udang hanya bertawakal ketika menarik pukat di dalam kolam tersebut ke tebing dalam kejadian di Kampung Sungai Emas Hujung, Kota Kuala Muda, di sini, petang ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, Mohd. Ali Abdul Rahman, 48, berkata, anaknya, Muhammad Aidil Adha, 5, bersama anak saudaranya, Muhammad Syafiq Amsyar Abdul Syahid, 3, ditemukan lemas selepas mereka dipercayai bermain di kawasan kolam itu.

“Ketika sedang tarik pukat itu saya terasa ianya berat sangat lalu meminta bantuan jiran dan pada masa sama saya kata ‘Ya Allah! Sahih anak aku dalam kolam ini dah’, saya tawakal sahaja.

“Apabila tarik pukat kali pertama, terus jumpa anak saudara (Muhammad Syafiq Amsyar), tarik kali kedua tiada apa-apa dan tarikan yang ketiga baru jumpa anak saya,” katanya ketika ditemui di Klinik Kesihatan Kota Kuala Muda, di sini, hari ini.

Terdahulu, dua kanak-kanak terbabit pada mulanya didapati tiada di rumah masing-masing sebelum ahli keluarga cuba mencari mereka di sekitar kawasan kolam udang tersebut.

Menurut Mohd. Ali, ketika kejadian dia sedang bekerja di kolam tersebut sebelum isterinya memaklumkan kehilangan anaknya serta anak saudara mereka.

“Muhammad Aidil sering ikut saya ke kolam dan sebelum kejadian saya lihat dia bersama sepupunya sedang bermain dengan arnab peliharaan di bawah bangsal berdekatan kolam. Selang beberapa minit kemudian saya lihat mereka sudah tiada di situ dan saya mula tidak sedap hati selepas kedua-dua mereka juga tidak kelihatan di kawasan sekitar,” katanya.

Sementara itu, ibu Muhammad Syafiq Amsyar, Nur Khairina Natasha Sarino, 24, berkata, dia menyedari ketiadaan anaknya setelah tidak mendengar suara anak bongsu daripada dua beradik itu yang ketika itu dilihat sedang bermain dengan Muhammad Aidil Adha.

“Mula-mula ada dengar suara, lepas itu sunyi, saya rasa tak sedap hati, kemudian saya tanya suami mana anak, dia kata dia pun tak nampak mereka,” jelasnya.

Menurut Nur Khairina, sehari sebelum kejadian Muhammad Syafiq Amsyar menunjukkan perangai pelik apabila meminta untuk memakai baju kurta yang dipakai ketika hari raya lalu untuk keluar bermain.

“Biasanya, dia akan pilih t-shirt bercorak kartun sahaja jadi saya suruh dia pakai baju biasa sahaja,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan mengenai kejadian terbabit.

Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN