Warisan tuntut pampasan daripada ADUN lompat parti

Warisan tuntut pampasan daripada ADUN lompat parti

MOHD. Shafie Apdal (tengah) semasa sidang akhbar di Pejabat Warisan di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) telah mengarahkan agar tuntutan pampasan dibuat terhadap kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang melompat keluar daripada parti berkenaan.

Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, beliau telah meminta peguam-peguam parti untuk memfailkan tuntutan pampasan itu daripada ADUN-ADUN yang melompat keluar daripada Warisan.

Beliau berkata, sebelum ini mahkamah telah memutuskan tiada keperluan untuk mengadakan pilihan raya bagi kerusi DUN Sebatik selepas Datuk Hassan A. Gani Pg Amir melompat keluar daripada Warisan.

Susulan itu, Warisan mengambil pendekatan lain iaitu membuat tuntutan pampasan terhadap ADUN lompat kerana semasa pilihan raya negeri (PRN), perbelanjaan kesemua ADUN ditanggung oleh parti.

“Kita telah minta peguam-peguam kita untuk susun semula. Saya ingat ini satu budaya yang kurang sihat dan menjadikan keadaan politik tidak stabil dan keadaan sebegitu masih berlaku pada hari ini,” katanya selepas menghadiri mesyuarat Wira Warisan, hari ini.

Beliau berkata, ADUN yang melompat dikenakan tindakan dari segi undang-undang termasuk tuntutan pampasan atas kos yang dibelanjakan oleh parti terhadap mereka semasa menjadi calon pada pilihan raya.

Menurut beliau, Warisan hanya mengambil tindakan dari segi undang-undang seperti mendesak pembubaran DUN kerana ADUN yang melompat.

Walau bagaimanapun, mahkamah memutuskan tidak perlu mengadakan semula pilihan raya maka, parti memutuskan untuk melakukan tuntutan pampasan.

Selepas PRN Sabah 2020, seramai 11 ADUN Warisan bertindak melompat parti bagi menjadi ADUN Bebas sebelum menyertai parti lain.

Mereka adalah Hassan, Datuk Dr Yusof Yaacob (Sindumin); Datuk Peter Anthony (Melalap); Datuk Juil Nuatim (Limbahau); Datuk Mohamaddin Ketapi (Segama); Datuk Norazlinah Arif (Kunak); Datuk Awang Ahmad Sah Sahari (Petagas); Rina Jainal (Kukusan); Ben Chong (Tanjung Kapor); Mohamad Mohamarin (Banggi); dan Datuk George Hiew.

Pada PRN Sabah yang lalu, kesemua calon mewakili Warisan telah menandatangani surat akuan bersumpah (SD) yang mengandungi beberapa syarat termasuk bersetuju mengosongkan kerusi DUN diwakili sekiranya mereka keluar daripada Warisan.

Pada 23 Jun 2022, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menolak permohonan Warisan untuk mengarahkan ADUN Sebatik mengosongkan kerusi kerana surat peletakkan jawatan yang tidak bertarikh dan surat aku janji untuk taat setia terhadap Warisan pada PRN Sabah telah menyalahi undang-undang.

Sebelum ini, bekas Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraidah Kamarudin yang melompat keluar daripada PKR diarahkan oleh mahkamah untuk membayar bon berjumlah RM10 juta kepada PKR. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya