LIPIS: Seorang warga emas berusia 75 tahun maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 22, Jalan Persekutuan Jalan Lipis-Merapoh dekat sini.
Dalam kejadian pada pukul 7.10 malam semalam, mangsa, Andi Aziz Berlian yang beralamat di Kampung Padang Lebak, Jalan Pagar Sasak, Padang Tengku disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan di Wad Kecemasan, Hospital Lipis.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati mangsa ketika melintas jalan kemudiannya telah dilanggar oleh sebuah kereta Toyota Hilux Pick-Up berwarna hitam yang dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun.
“Apabila tiba di tempat kejadian, pemandu Toyota Hilux bersama empat orang penumpang dalam perjalanan dari Padang Tengku menghala ke Merapoh tiba-tiba melihat mangsa telah melintas jalan dari arah kiri jalan ke kanan dalam keadaan berlari.
“Pemandu berkenaan telah cuba menghentikan kenderaannya, bagaimanpun tidak dapat mengelak lalu merempuh mangsa,” katanya di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.
Menurut Azli, warga emas berkenaan dikejarkan ke Hospital Kuala Lipis oleh ambulans untuk dirawat.
“Pada pukul 8.35 malam semalam, polis telah menerima makluman daripada petugas perubatan menyatakan mangsa telah meninggal dunia di Unit Kecemasan, Hospital Lipis,” katanya.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku akibat kecuaian mangsa semasa melintas jalan dan kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN










