LAHAD DATU: Seorang wanita warga asing ditemukan dalam keadaan separuh bogel dipercayai disamun dan dirogol di sebuah kawasan kebun di Kampung Pisang, hari ini.
Mangsa yang berusia 36 tahun difahamkan keluar bekerja pada pukul 6.15 pagi tadi namun, mangsa tidak tiba di tempat kerja dan gagal dihubungi oleh keluarga mangsa.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr. Rohan Shah Ahmad berkata, mangsa yang bekerja sebagai pembuat roti canai di sebuah restoran itu ditemukan dengan kesan hentakan objek tumpul di bahagian kepala dan kesan kelar oleh senjata tajam di bahagian leher.
Beliau berkata, mangsa dipercayai disamun kerana telefon bimbit milik mangsa dilaporkan hilang dan tiada wang tunai dijumpai dalam dompet mangsa.
Pihak polis juga tidak menolak kemungkinan mangsa turut dirogol berdasarkan kesan air mani yang terdapat pada bahagian kemaluan mayat mangsa.
Berdasarkan maklumat daripada keluarga mangsa, wanita yang merupakan ibu kepada lima anak itu keluar bekerja pagi tadi dan melalui laluan pejalan kaki di sebuah kawasan semak kebun pisang sebagai laluan pergi dan balik kerja.
Walau bagaimanapun, mangsa dikatakan tidak tiba di tempat kerja dan pihak majikan bertindak menghubungi keluarga mangsa. Namun, keluarga wanita itu memberitahu mangsa telah keluar bekerja pada pukul 6.15 pagi.
“Sangsi dengan makluman yang disampaikan pihak majikan, ahli keluarga mangsa berusaha mencari mangsa. Mangsa kemudiannya ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa di kawasan semak yang menjadi laluan mangsa setiap hari ke tempat kerja.
“Sepasukan pegawai polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu telah ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan. Siasatan mendapati terdapat kesan hentakan benda tumpul di kepala dan kelar di bahagian leher mangsa dan mangsa berada dalam keadaan separuh bogel,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu bagi tujuan bedah siasat.
Mengulas lanjut katanya, pihak polis sedang berusaha untuk mengesan suspek dalam kejadian ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan hukuman boleh membawa hukuman mati.
Rohan Shah turut memohon kerjasama daripada orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu untuk menyalurkan kepada balai polis berhampiran atau hubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Lahad Datu, Asisten Superitendan Kharuddin Husain di talian 013-9071709.










