KAJANG : Peguam kepada Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani memaklumkan anak guamnya belum tampil memberi keterangan atas faktor keselamatan.
Faizal Rahman bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai bila Abdul Wahab akan berbuat demikian.
Kata beliau, Abdul Wahab juga akan dipanggil oleh pihak polis dalam masa terdekat namun tidak boleh dinyatakan bila.
“Banyak faktor yang kita ambil kira terutama dari segi keselamatan. Apa pun pihak kami dan polis akan memberi kerjasama,” katanya ketika ditemui selepas menemani bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff memberi keterangan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, ditanya sama ada Abdul Wahab ada menerima ancaman daripada mana-mana individu, Faizal enggan mengulas perkara itu.
Selain itu, dia mengatakan anak gumamnya itu berada dalam keadaan selamat.
“Dia selamat,” katanya ringkas.
Dalam pada itu, Faizal yang juga peguam mewakili Mohammad Agus menjelaskan, satu laporan lain dibuat oleh pihaknya selepas mendapati terdapat kebocoran maklumat daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan laporan yang dibuat anak guamnya sebelum ini.
Beliau mempersoal bagaimana laporan yang dibuat anak guamnya boleh terdedah meskipun kes itu dijalankan oleh Unit Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.
“Apa yang pasti laporan yang bocor itu bukan salinan daripada pihak kami.
“Kita tidak mahu buat spekulasi. Apa yang pasti dokumen itu daripada polis dan mereka perlu bertanggungjawab atas kebocoran itu,” katanya. – UTUSAN










