Wahab muncul bersama Agus

Wahab muncul bersama Agus, nafi ketulenan rakaman video perbualan lucah

wahab
Mohammad Agus Yusoff (kiri) dan Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Individu yang dipanggil ‘Wahab’ muncul dalam sidang akhbar bersama bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff, bagi memberi penjelasan berhubung rakaman video yang tular melibatkan perbualan lucah antara dua lelaki.

Dalam sidang akhbar di sebuah hotel di Bandar Baru Bangi di sini, Wahab atau Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani yang berusia 33 tahun mendakwa dia seorang yang naif dan mereka menafikan ketulenan video perbualan lucah tersebut.

Kata mereka, video tersebut didakwa telah disunting dan disebar dengan sengaja oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Mohammad Agus berkata, rakaman video itu telah disunting dan dibingkaikan seolah-olah mereka sedang berbual mengenai perkara intim dan hubungan sejenis, sedangkan hakikatnya ia tidak seperti yang digambarkan selain berniat menjatuhkan maruahnya.

Sehubungan itu, beliau telah membuat laporan polis petang tadi di Kajang dan akan menghantar surat tuntutan undang-undang kepada pihak yang menyebarkan video itu.

“Saya berfikir, mengapa sampai begini? Kita sudah belajar pengalaman bagaimana seseorang itu jatuh kerana tuduhan seksual, maka, hal ini berlaku pada saya.

“Saya gembira dengan tugas di J-KOM, tetapi, selepas beberapa bulan melaluinya, saya rasa ada tekanan mungkin daripada kawan-kawan yang merasakan saya tidak sesuai di situ (J-KOM) atau saya tidak melaksana tugas seperti ekspektasi asal.

“Saya cuba membuat perubahan menjadikan J-KOM benar-benar sebagai jentera kerajaan bukan sebagai jentera parti. Apa pun kritikan orang pada J-KOM saya hadapi dengan jiwa besar,” katanya.

Katanya, sebelum ini beliau menerima tawaran kerja di Indonesia dan akan melepaskan jawatan di J-KOM secara baik.

Bagaimanapun, katanya, pada 13 November lalu, beliau dipanggil bertemu seseorang dan ditunjukkan video perbualan lucahnya itu.

Katanya, pada waktu itu, beliau diberi pilihan sama ada meletak jawatan Ketua Pengarah J-KOM atau bercuti rehat sehingga tempoh tamat dan meletak jawatan.

“Saya mengambil sikap tanpa membahas apa-apa mengenai ketulenan video, memandangkan saya juga merancang untuk pergi, tidak apa, saya akan beri notis cukup tempoh sepatutnya saya letakkan jawatan.

“Namun, pada 16 November lalu, saya mendapat panggilan macam-macam bahawa saya letak jawatan J-KOM saya cuba untuk tutup benda ini, tapi, petang semalam, keluar satu video saya bercakap lucah dengan Wahab,” katanya.

Semalam, media melaporkan satu rakaman video perbualan lucah antara seorang lelaki dengan seseorang yang mirip Mohammad Agus dan tersebar di media sosial.

Video berdurasi 3 minit 3 saat itu dikongsi Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Che’gu Bard menerusi akaun aplikasi Tik Tok miliknya.

Menerusi rakaman video itu boleh didengar secara jelas perbualan sesama lelaki itu melalui panggilan video seperti pasangan kekasih yang sedang ‘memancing’ untuk melakukan hubungan intim.

Menjengah ruangan caption pada video berkenaan, Che’gu Bard mempersoal jika lelaki dalam video itu adalah Pengarah J-KOM lantikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan meletak jawatan.

Mohammad Agus mengesahkan telah menghantar surat peletakan jawatan dan diserah kepada Perdana Menteri semalam.

Katanya, keputusan berkenaan dilakukan berikutan beliau menerima tawaran pekerjaan baharu dan bukan disebabkan tekanan oleh mana-mana pihak.

Mohammad Agus dilantik sebagai Ketua Pengarah J-KOM pada Februari lalu, namun beliau serta jabatan terbabit banyak menerima kritikan kerana disifatkan kurang berkesan dalam memainkan peranannya menguar-uarkan maklumat berkaitan pelbagai manfaat dan insentif disediakan Kerajaan Perpaduan kepada rakyat. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya