Usah biar Sabah bersendirian urus lebih 2 juta individu ‘stateless’

Usah biar Sabah bersendirian urus lebih dua juta individu ‘tanpa negara’

JERRY Jaimeh (kiri) pada sidang akhbar MHO di Putrajaya. - UTUSAN/AMREE AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan Persekutuan diminta campur tangan untuk segera menamatkan kemelut lebih dua juta individu tanpa negara atau ‘stateless’ di Sabah.

Ketua Pegawai Operasi Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Kapten (Bersara) Jerry Jaimeh berkata,  Kerajaan Negeri Sabah tidak sepatutnya dibiarkan secara bersendirian mengurus isu besar ini memandangkan masalah berkenaan berlarutan hampir 50 tahun.

Beliau berkata, kerajaan Sabah pada Jun lalu ada membuat pemutihan di beberapa ladang kelapa sawit dan merekodkan cuma 17,000 individu bertaraf stateless.

“Selepas itu tiada perkembangan apa-apa walaupun dikatakan isu itu bakal dibentangkan kepada Kabinet negeri dan kami penduduk asal Sabah berasa amat bimbang,” tegasnya selepas hadir menyaksikan penyerahan memorandum sokongan MHO kepada pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung isu itu, di sini hari ini.

MHO ujar beliau, menyifatkan angka yang disebut kerajaan negeri itu sebagai tidak logik dan menganggarkan jumlah sebenarnya lebih dua juta orang melibatkan empat generasi.

Isu warga ‘stateless’ tambahnya, muncul akibat perkahwinan campur ribuan pendatang diizinkan dari wilayah selatan Filipina dekad awal 1970-an lalu dengan penduduk tempatan.

Mereka yang beragama Islam itu lari ke Sabah untuk memohon perlindungan ekoran isu perang di negara asalnya dan diberikan pas lawatan HIF22 dengan pengecualian pasport.

Dokumen sementara itu kemudian diubah pula kepada Sijil Banci dan seterusnya Kad Burung-Burung sebelum dikenali sebagai IMM13 yang perlu diperbaharui setiap tahun.

KDN sebelum ini menganggarkan terdapat kira-kira 136,000 pemegang pas IMM13 dan mereka dianggap pelarian perang yang tidak serupa dengan pendatang asing tanpa izin.

“Kami berharap supaya status mereka ini dapat diberikan perhatian kerana ada pulangan ekonomi dari segi tenaga buruh berbanding penggunaan pekerja asing lain,” kata Jerry.

Tambahan pula ujarnya, mereka telah sebati hidup budaya Malaysia selain menyifatkan negara ini sebagai tanah air dan turut menjunjung setia kepada Yang di-Pertuan Agong. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN