Tuntutan PAC bakal dipenuhi, Akta Audit dipinda tahun depan 

Tuntutan PAC bakal dipenuhi, Akta Audit dipinda tahun depan

MAS Ermieyati Samsudin (dua dari kanan) dan Wan Suraya Wan Mohd. Radzi (kiri) bersama-sama ahli PAC dalam sidang akhbar di pusat media Parlimen di sini hari ini. - FOTO/JABATAN PENERANGAN MALASYIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Gesaan Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) untuk meminda Akta Audit 1957 bakal terlaksana setelah dimaklumkan kerajaan bercadang meminda undang-undang itu pada tahun depan.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, Ketua Audit Negara memaklumkan perkara itu kepada jawatankuasa itu.

Sehubungan itu, beliau memohon supaya kerajaan memasukkan peranan dan tanggungjawab PAC dalam pindaan akta itu nanti.

“Ketua Audit Negara memaklumkan bahawa kerajaan bercadang untuk meminda Akta Audit tahun depan dan kami memohon kerajaan memasukkan peranan dan tanggungjawab PAC dalam pindaan akta ini,” katanya dalam sidang akhbar di pusat media Parlimen di sini hari ini.

Beliau bersidang bersama-sama Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd. Radzi serta ahli-ahli PAC selepas mendengar taklimat berhubung tiga laporan LKAN 2022 yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini.

Pada 2 November lalu, PAC telah menggesa kerajaan meminda akta berkenaan sebagai langkah pemerkasaan jawatankuasa itu.

Katanya, pindaan terhadap akta itu supaya PAC dapat membuat permohonan kepada Jabatan Audit Negara (JAN) dan melaksanakan audit secara terus ke atas mana-mana pihak yang menerima dana daripada kerajaan apabila diperlukannya.

Beliau berkata, PAC ketika ini terkekang dan tiada kuasa meminta JAN berbuat demikian ke atas kementerian, agensi atau jabatan kerana peruntukan undang-undang yang termaktub dalam akta berkenaan.

“Ini adalah kekangannya kerana jika PAC mahu JAN melaksanakan pengauditan kepada mana-mana pihak yang terima dana kerajaan terutama jika isu berkenaan tidak dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).

“…PAC perlu memohon kepada Ketua Audit Negara dan Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri selaras tertakluk pada budi bicara mereka untuk membenarkan JAN melaksanakan pengauditan bagi pihak PAC,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya