Tragedi tapak pembinaan; Wakil syarikat sedia urus bawa pulang jenazah Saiful - Utusan Malaysia

Tragedi tapak pembinaan; Wakil syarikat sedia urus bawa pulang jenazah Saiful

WAKIL syarikat pembinaan dalam tragedi runtuhan tiang rasuk konkrit dan rakan mangsa yang terlibat dalam kejadian itu ketika menunggu jenazah mangsa di Unit Forensik, HPP, George Town, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Wakil syarikat pembinaan akan membantu menguruskan jenazah salah seorang warga Bangladesh yang maut dalam tragedi runtuhan di tapak pembinaan sebuah gudang di Batu Maung, di sini malam tadi.

Wakil syarikat pembinaan yang beroperasi di Puchong itu yang hanya mahu dikenali sebagai Noor, 40-an, berkata, pekerja yang maut dalam kejadian itu dikenali sebagai Saiful, 29.

SAIFUL

Beliau walau bagaimanapun berkata, pihaknya perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sebelum membantu menghantar pulang jenazah Saiful ke Bangladesh.

“Saya bergegas ke sini apabila dimaklumkan salah seorang pekerja kami terlibat dalam tragedi ini.

“Mangsa sudah bekerja bersama syarikat sejak lebih lima tahun lalu dan sering dihantar untuk bekerja di pelbagai lokasi antaranya Terengganu dan Kuantan, Pahang.

“Arwah baharu sahaja dihantar ke sini (Batu Maung) untuk bekerja di tapak pembinaan terbabit dan keluarganya juga telah dimaklumkan berhubung kejadian ini,” katanya.

Noor berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP), di sini hari ini.

Terdahulu, beliau hadir bagi proses pengecaman mangsa ditemani beberapa individu lain termasuk rakan baik arwah Saiful, Tayabur Rahman.

Noor, berkata beliau telah melakukan pengecaman jenazah Saiful petang ini dan mendapati secara luaran tubuh mangsa berada dalam keadaan sempurna dan elok meskipun masih terdapat kesan-kesan pasir pada tubuh dan wajah mangsa.

Mengulas lanjut, Noor berkata, arwah memiliki peribadi menyenangkan dan seorang yang lemah lembut.

“Arwah belum berkahwin dan tidak lupa menghantar wang perbelanjaan kepada keluarganya setiap bulan.

“Kali terakhir kami bertemu, arwah memberitahu saya yang dia keberatan untuk bekerja di Pulau Pinang kerana cuacanya panas.

“Arwah turut meminta saya belikannya krim pelindung matahari (sunscreen) kerana mahu elakkan kulitnya daripada terbakar,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.58 malam tadi, seramai 18 buruh binaan warga Bangladesh sedang bekerja di tapak pembinaan sebuah gudang sebelum salah satu tiang rasuk konkrit secara tiba-tiba runtuh dari ketinggian kira-kira 20 meter.

Tiang rasuk seberat 14 tan dan sepanjang 12 meter itu kemudiannya menimpa sekurang-kurangnya 14 lagi tiang rasuk lain sebelum jatuh dan menimpa kesemua mangsa yang sedang bekerja di bawahnya.

Setakat pukul 3.30 pagi tadi, tiga disahkan maut dalam kejadian itu masing-masing dua di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia di hospital manakala dua lagi cedera parah. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya