Hanya mampu lihat rakan tertimbus, runtuhan konkrit terlalu berat untuk diangkat - Utusan Malaysia

Hanya mampu lihat rakan tertimbus, runtuhan konkrit terlalu berat untuk diangkat

ANGGOTA penyelamat berusaha mengesan dan mengeluarkan mangsa yang masih tertimbus dalam kejadian runtuhan konkrit di tapak pembinaan di Batu Maung, Pulau Pinang hari ini. - Pic: IHSAN BOMBA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BAYAN LEPAS: Warga Bangladesh yang turut bekerja di tapak pembinaan gudang yang runtuh di Batu Maung, dekat sini malam tadi hanya mampu melihat rakan-rakan mereka tertimbus di bawah runtuhan konkrit.

Salah seorang daripada mereka yang hanya mahu dikenali sebagai Mohamad Ikhtiar, 38, berkata, mereka tidak dapat menyelamatkan mangsa yang tertimbus disebabkan tidak mampu mengangkat runtuhan konkrit yang terlalu berat.

Bercerita lebih lanjut, Mohamad Ikhtiar yang sudah tiga bulan bekerja di tapak pembinaan gudang itu berkata, ketika kejadian dia serta beberapa rakan senegaranya yang lain sedang bekerja di bahagian lain yang tidak jauh dari lokasi runtuhan tiang rasuk konkrit tersebut.

Bagaimanapun, katanya, ketika sedang bekerja, mereka terdengar bunyi dentuman yang kuat sebelum melihat tiang rasuk konkrit tumbang dan menimpa tiang-tiang rasuk konkrit lain sebelum terjatuh ke atas sekumpulan pekerja.

“Saya bersama-sama rakan yang lain terus bergegas ke lokasi runtuhan dan cuba menyelamatkan pekerja yang tertimbus tetapi tidak berjaya kerana runtuhan konkrit terlalu berat untuk diangkat,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.58 malam tadi, seramai 18 buruh binaan warga Bangladesh sedang bekerja di tapak pembinaan sebuah gudang sebelum salah satu tiang rasuk konkrit secara tiba-tiba runtuh dari ketinggian kira-kira 20 meter.

Tiang rasuk seberat 14 tan dan sepanjang 12 meter itu kemudiannya menimpa sekurang-kurangnya 14 lagi tiang rasuk lain sebelum jatuh dan menimpa kesemua mangsa yang sedang bekerja di bawahnya.

Setakat pukul 3.30 pagi tadi, tiga disahkan maut dalam kejadian itu masing-masing dua di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia di hospital dengan tiga lagi dikhuatiri masih tertimbus.

Sementara itu, tiga lagi mangsa berjaya dikeluarkan daripada runtuhan dengan dua mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di hospital sementara sembilan yang lain terselamat.

Dalam pada itu, seorang lagi pekerja warga Bangladesh di tapak pembinaan tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Moshir, 50-an, berkata, dia baru pulang ke rumah selepas tamat waktu bekerja sebagai pekerja am di tapak pembinaan tersebut kira-kira pukul 9 malam tadi.

“Apabila tiba di rumah, saya menerima panggilan telefon daripada rakan yang mengatakan berlaku kejadian runtuhan di tempat kami bekerja.

“Dia juga memaklumkan ramai rakan kami tertimbus dalam kejadian ini,” katanya yang sudah bekerja di tapak pembinaan itu kira-kira empat bulan lalu.

Dalam pada itu, Moshir mendakwa, kebanyakan mangsa dalam kejadian tersebut baru bekerja di tapak pembinaan terbabit kurang dari tempoh sebulan.

Ujarnya, ketika kejadian, mereka sedang melakukan kerja-kerja lebih masa yang kebiasaannya akan tamat menjelang tengah malam. – UTUSAN

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya