Tidak salah kerajaan ajak pembangkang sokong Perdana Menteri

Tidak salah kerajaan ajak pembangkang sokong Perdana Menteri – Ramanan

R. RAMANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diingatkan supaya tidak membuat sangkaan jahat mengatakan seolah-olah ada usaha dari kerajaan ‘memancing’ mereka untuk mengalihkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR, Datuk R. Ramanan berkata, pembangkang harus bersikap matang dan tidak berniat mewujudkan persepsi buruk terhadap kerajaan demi agenda tersendiri.

Ahli Parlimen Sungai Buloh itu berkata, sekalipun benar dakwaan Bersatu ada wakil kerajaan mengajak mereka menyokong Perdana Menteri, Ramanan tidak menganggapnya sebagai satu kesalahan.

Jelasnya, beliau juga terbuka menerima sesiapa sahaja dalam kalangan pembangkang untuk bersama kerajaan, namun, bukan dengan cara memaparkan naratif kurang baik seperti yang didakwa Bersatu.

“Kita tidak boleh buat sangkaan jahat macam ini kononnya ada wakil kerajaan sedang memancing mereka, asalkan tidak ada suapan itu apa salahnya. Jika benar pun pembangkang kata ada wakil kerajaan buat begitu, tiada salahnya juga, kami pun mahu pembangkang sokong kerajaan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, Wan Ahmad Fayhsal merangkap Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada Bersatu) dilaporkan mendakwa, beliau merupakan ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) pertama dihubungi wakil kerajaan untuk diajak mengalih sokongan kepada Anwar.

Bagaimanapun, beliau mengakui hanya diajak secara baik dan tidak diugut seperti ahli-ahli Parlimen Bersatu lain.

Beliau mendedahkan perkara itu dalam Perhimpunan Agung Tahunan Srikandi, Armada dan Srikandi Muda dan Bersekutu Bersatu di Shah Alam.

Wan Ahmad Fayhsal ketika dihubungi semalam pula enggan mendedahkan maklumat lanjut mengenai wakil kerajaan yang didakwanya kelmarin.

“Tidak boleh, maaf,” katanya.

Sebelum ini, beliau memaklumkan laporan polis telah dibuat berhubung dakwaan wujud unsur habuan, umpan atau ugutan susulan tindakan beberapa ahli Parlimen PN yang mengisytihar sokongan kepada Anwar.

Pada 14 November lalu, beliau dalam sidang akhbar di Parlimen mendakwa terdapat dua individu bertanggungjawab menarik sokongan wakil rakyat pembangkang kepada Anwar iaitu ‘Datuk Botak’ (bukan nama sebenar) dan bekas Setiausaha Politik Anwar iaitu Farhash Wafa Salvador.

Bagaimanapun, Farhash telah menafikan sekeras-kerasnya tuduhan berkenaan yang disifatkan sebagai fitnah dan berniat jahat.

Sebelum ini, empat ahli Parlimen Bersatu mengalihkan sokongan mereka kepada kepemimpinan Anwar iaitu Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid; Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman; Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd. Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebelum ini mendakwa, tindakan menakut-nakutkan Iskandar Dzulkarnain dipercayai bertujuan mendapatkan sokongan supaya kerajaan kembali memperoleh sokongan dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat.

Hamzah mendakwa, pada 1 Oktober lalu, Iskandar Dzulkarnain dibawa untuk bertemu seorang pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sebuah hotel di Damansara dan diugut akan didakwa atas kesalahan rasuah jika enggan menandatangani kenyataan media yang disediakan lebih awal untuk menyokong kerajaan.

Bagaimanapun, SPRM telah menafikan bahawa badan berkuasa itu terlibat dalam pengisytiharan sokongan Iskandar Dzulkarnain, manakala dakwaan pihaknya telah mengugut ahli Parlimen itu bertujuan mencemarkan nama baik SPRM.

Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd. Sany Hamzan ketika dihubungi mencabar Wan Ahmad Fayhsal supaya mendedahkan maklumat berhubung dakwaan ada wakil kerajaan mengajak mereka supaya mengalihkan sokongan kepada Anwar.

Katanya, jika benar dakwaan Wan Ahmad Fayhsal mengenai perkara itu, Ahli Parlimen Machang itu sepatutnya membuat laporan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagaimanapun, kata Mohd. Sany, bukanlah menjadi kesalahan jika ‘wakil kerajaan’ itu mengajaknya kerana tidak melanggar undang-undang yang melarang ahli Parlimen bertukar parti politik.

“Saya cabar beliau, dedahkan siapa yang datang (hubungi) beliau dan beri tawaran untuk sokong kerajaan. Kalau benar pun, tiada keperluan untuk sokong sebab sokongan kerajaan sekarang sangat kukuh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN