PETALING JAYA: Tindakan kerajaan meminda Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) dan Kanun Keseksaan (Akta 574) adalah tepat kerana undang-undang yang ada tidak memberi pengertian khusus mengenai istilah berkaitan jenayah siber terutama membabitkan kegiatan Love Scam dan penipuan dalam talian.
Memberitahu Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Pengguna Siber Malaysia, Datuk Ahmad Noordin Ismail berkata, perkara berkenaan adalah wajar dan sangat relevan dilaksanakan bagi memastikan pihak berkuasa melakukan penyiasatan kes jenayah siber dari segi pengumpulan data dan mengukuhkan rantaian keterangan bagi meneruskan pendakwaan di mahkamah.
Kata beliau, sebelum ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah ada menyatakan cadangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melakukan pindaan terhadap Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) dan Kanun Keseksaan (Akta 574) selain bercadang mewujudkan satu undang undang di bawah Siber Sekuriti.
Ujarnya, pindaan dan undang-undang baharu ini dapat mengekang jenayah siber seiring perkembangan teknologi dan kompleksiti jenayah terbabit.
“Buat masa ini, tiada undang-undang spesifik babit jenayah siber ini. Kita ambil contoh seperti kes bunuh dan curi, tindakan boleh diambil di bawah peruntukkan undang-undang sendiri.
“Dengan ada pindaan atau undang-undang baharu ini, sekurang-kurangnya dapat membantu pihak berkuasa mendapatkan bukti-bukti kukuh bagi melakukan pendakwaan dengan taktik-taktik baharu yang digunakan penjenayah,” katanya di sini semalam.
Untuk rekod, ketika ini di Malaysia, keselamatan siber dikawal oleh beberapa perundangan utama seperti Akta Jenayah Komputer 1997, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Kanun Keseksaan dan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010
Turut senada, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya sangat mengalu-alukan cadangan pindaan undang-undang itu supaya selaras dengan keadaan semasa.
Kata beliau, ketika ini kemajuan dan kepesatan teknologi itu menyebabkan sesetengah undang-undang menjadi tidak lagi relevan dan lapuk.
“Walaupun kita sudah ada undang-undang tertentu dalam jenayah siber ini, tetapi jika Kanun Tatacara Jenayah dipinda membolehkan siasatan dan pendakwaan diambil.
“Jika dahulu kes penipuan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dilakukan secara bersemuka, tetapi kini, jenayah ini dilakukan menggunakan perisian komputer jadi agak sukar untuk membuktikan pemberdayaan dalam kes itu.
“Benda-benda seperti ini yang perlu dibuktikan dan diambil kira. Ini tidak termasuk lagi dengan kepesatan teknologi kecerdasan buatan (AI) tidak lama lagi,” jelasnya.
Kata beliau, pindaan ini bukan sahaja tegas tetapi perlu dimasukkan elemen-elemen baharu umpamanya membabitkan penggunaan secara dalam talian.
“Kita perlu ambil contoh di negara-negara maju yang mana mereka mula merangka undang-undang seperti itu,” katanya. – UTUSAN










