Tiada pegawai SPRM ditempatkan di MITRA, siasatan selesai

Tiada pegawai SPRM ditempatkan di MITRA, siasatan selesai

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA (SPRM)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan tiada pegawai mereka akan ditempatkan di Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), ketika ini.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, pegawai SPRM juga dilarang terbabit dalam mana-mana mesyuarat lembaga, jawatan kuasa atau urus setia berkaitan perolehan di agensi luar mengikut 1 Pekeliling Perbendaharaan (1PP).

Malah, kenyataan itu berkata, siasatan isu penyelewengan dana MITRA itu juga sudah diselesaikan sejak 2019 ke 2021.

“SPRM ingin memperjelaskan dan memperbetulkan fakta yang berkemungkinan akan mengelirukan umum mengenai laporan dua akhbar tempatan bertajuk ‘MACC stations officer at MITRA for greater transparency’ dan ‘MACC Officers to join MITRA meeting’ SPRM yang dilaporkan semalam,” katanya.

Mengulas lanjut, kata kenyataan itu, SPRM juga berjaya mendapat pendakwaan terhadap 12 kes dengan 10 kes masih dibicarakan di mahkamah manakala dua kes tertuduh sudah mengaku salah.

Tambah kenyataan itu, SPRM juga sudah menyerahkan laporan pengukuhan tata kelola pengurusan dana MITRA kepada Kementerian Perpaduan Negara pada Februari tahun lalu.

“Laporan berkaitan langkah pencegahan untuk menutup sebarang ruang dan peluang rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dana kerajaan adalah antara tindakan yang dijalankan agensi itu, susulan siasatan yang dijalankan SPRM, terhadap agensi itu beberapa tahun lalu.

“Hasil dapatan siasatan, SPRM juga sudah mengambil tindakan mengkaji tata kelola pengurusan dana MITRA untuk tujuan mengukuhkan tatacara dan ketelusan pengagihan dana MITRA kepada masyarakat India di negara ini,” jelasnya.

Kenyataan itu turut menegaskan, Akta SPRM 2009 memperkasakan SPRM bukan hanya untuk menyiasat rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, malah, tindakan pencegahan dalam memastikan kesalahan yang sama tidak berulang pada masa hadapan.

Untuk rekod, SPRM sebelum ini menjalankan siasatan terhadap geran peruntukan MITRA yang diberikan kepada 337 syarikat, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) sejak 2019 hingga 2021 membabitkan peruntukan kira-kira RM203 juta.

Siasatan SPRM berhubung pengurusan dana agensi berkenaan dilakukan dalam dua fasa dengan fasa satu terarah kepada kira-kira 27 syarikat, persatuan dan NGO yang menerima antara RM1 juta hingga RM9 juta.

Fasa kedua siasatan pula akan dijalankan menerusi kerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara menerusi penubuhan sebuah jawatan kuasa khas bagi memperhalusi kesahihan penggunaan geran MITRA, membabitkan peruntukan kurang daripada RM1 juta.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN