Tiada laporan pemberhentian pekerja akibat boikot - Utusan Malaysia

Tiada laporan pemberhentian pekerja akibat boikot

V. SIVAKUMAR menyerahkan sumbangan mesin Hemodialisis kepada Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan pada Majlis Sambutan Deepavali Perkeso di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tiada laporan berhubung pemberhentian pekerja susulan kempen boikot syarikat dan produk berkaitan Israel yang digerakkan di negara ini.

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, berdasarkan rekod, tiada aduan rasmi dikemukakan kepada kementerian itu mengenai isu tersebut setakat ini.

“Kementerian tidak terima apa-apa laporan berkaitan pembuangan pekerja dan sebagainya. Tidak ada apa-apa aduan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis sambutan Deepavali Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai kempen boikot produk dan syarikat yang berkaitan dengan Israel yang digerakkan di negara ini.

Sementara itu, Sivakumar berkata, Perkeso menanggung kira-kira RM350 juta tahun ini untuk membiayai faedah dialisis kepada pencarum yang menghadapi sakit buah pinggang.

Berdasarkan statistik, pesakit buah pinggang di Malaysia direkodkan antara tertinggi dalam dunia dengan pesakit kronik yang memerlukan rawatan dialisis adalah paling ramai di Asia Tenggara.

Menurut Sivakumar, kos tersebut adalah sangat besar dan bagi meringankan beban Perkeso, usaha sedang dilakukan untuk menambahkan pusat dialisis yang dikendalikan agensi itu sendiri di seluruh negara.

“Perbincangan juga telah dibuat bersama Kementerian Kesihatan berhubung usaha tersebut, memandangkan sebilangan besar daripada mereka menghadapi sakit buah pinggang merupakan pekerja yang mencarum dengan Perkeso.

“Menjadi tanggungjawab Perkeso untuk membiayai kos rawatan untuk pesakit-pesakit buah pinggang ini. Untuk meringankan beban Perkeso, Perkeso juga dalam usaha membuka pusat-pusat dialisis di seluruh negara.

“Ini boleh mengurangkan liabiliti Perkeso kerana kos dapat dikurangkan dan pada masa yang sama membantu mereka yang dikenal pasti menghadapi penyakit buah pinggang supaya mereka tidak perlu bergantung kepada dialisis di hospital mahupun pihak Ngo jika sekiranya Perkeso sendiri memiliki pusat-pusat dialisis ini,” katanya.

Ketika ini, terdapat empat buat pusat dialisis yang dikendalikan oleh Perkeso sendiri iaitu di Klang dan Shah Alam, Selangor serta di Batu Pahat dan Kluang, Johor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya