KUALA LUMPUR: Mynext TVET perkasa program TVET merupakan inisiatif komprehensif dalam memperkasakan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara secara berterusan.
Ia juga merupakan platform atas talian yang dibangunkan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) untuk memberi fokus utama kepada pembentukan sistem maklumat pengurusan bakat TVET secara bersepadu dan efisien.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, mynext TVET dibangunkan sebagai pangkalan data bakat TVET di Malaysia selain dapat dimanfaatkan oleh kerajaan bagi merangka pelan intervensi strategik berdasarkan bukti data dan analitik secara menyeluruh.
Menurutnya, pelancaran platform mynext TVET amat signifikan dan bertepatan dengan agenda kerajaan merealisasikan hasrat melahirkan tenaga mahir berasaskan TVET secara lebih agresif.
Katanya, peluasan platform mynext TalentCorp dalam ekosistem TVET negara berupaya untuk membantu meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan TVET melalui panduan dan bimbingan laluan kerjaya yang holistik.
“Platform ini turut berperanan dalam membantu institusi TVET merencana dan memperkukuh penawaran program.
“Bagi pihak majikan pula, platform mynext TVET dapat dimanfaatkan bagi tujuan penawaran dan penempatan program latihan industri (internship) seterusnya mengenal pasti bakat yang yang bersesuaian bagi memenuhi keperluan industri,” katanya ketika merasmikan pelancaran mynext TVET dan pertukaran dokumen Memorandum Kerjasama (MoC) Transformasi TVET antara kerajaan dengan GLC dan Syarikat Swasta.
Sebanyak 19 memorandum kerjasama transformasi program pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional antara kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat swasta telah dimeterai berdasarkan kesesuaian bidang dan skop yang dipersetujui secara bersama.
Pemeteraian MoC berkonsepkan payung kerjasama menjadi penghubung yang dapat dimanfaatkan oleh institusi TVET awam merentasi 12 buah Kementerian berkaitan TVET dalam membuka ruang kerjasama erat bersama pihak industri.
Dalam pada itu, Zahid turut berkata, pelaksanaan TVET dipacu industri memerlukan sinergi kolaborasi antara industri dan penyedia TVET secara berterusan.
Katanya, kerjasama pihak industri dan institusi TVET yang amat signifikan dalam memastikan padanan antara penawaran dan permintaan dalam membantu institusi TVET tempatan menyediakan keperluan kursus-kursus berteras industri berteknologi tinggi berdasarkan kepada kehendak industri.
“Kerajaan giat meneroka peluang kerjasama melibatkan syarikat berkaitan kerajaan dan swasta melalui pemeteraian Memorandum Kerjasama (MoC).
“Ia adalah usaha meningkatkan dan melibatkan lebih banyak pihak industri dalam pelaksanaan program TVET seterusnya merealisasikan transformasi program TVET negara,” katanya. – UTUSAN










